IKIMfm dan IAM Anjur Program Imarah Ramadan 1436H

KUALA LUMPUR, 20 Jun – Radio IKIMfm dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia(IAM) telah mengadakan program ‘Imarah Ramadan-Bantulah Mereka Berbuka  untuk lokasi yang pertama bagi tahun 2015 di IKIM, Jalan Langgak Tunku Off Jalan Tuanku Abdul Halim bagi memeriahkan sambutan bulan Ramadan.

Memasuki tahun keempat penganjurannya, program ini diadakan bertujuan untuk berkongsi keceriaan dan kemeriahan Ramadan bersama-sama dengan golongan yang kurang berkemampuan.

Berlokasi di Dewan Sajian IKIM, seramai 50 orang penerima manfaat terdiri  daripada pemandu teksi yang kurang berkemampuan termasuk golongan OKU dan pemandu wanita telah dipillih dari sekitar Lembah Klang untuk menerima sumbangan pek makanan ‘Imarah Ramadan’ yang mengandungi makanan asas harian seperti beras, gula, minyak masak, susu, makanan dalam tin dan lain-lain lagi. Selain daripada itu, turut diadakan adalah aktiviti penampalan stiker kenderaan berkaitan kempen ‘Imarah Ramadan’ di 50 buah teksi tersebut. Mereka juga turut diraikan dengan majlis IFTAR dan solat maghrib berjemaah.

Majlis ini telah disempurnakan oleh tetamu kehormat iaitu YBhg. Dr. Nik Roskiman bin Abdul Samad, Pengarah Pusat Media, Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM). Turut hadir Presiden, Islamic Aid Malaysia (IAM), YBhg. Encik Zawahir Abdullah.

Program istimewa ini akan berkunjung ke beberapa lokasi yang terpilih di negeri Perak, Melaka dan Kelantan bagi tujuan menghulurkan sumbangan ‘Imarah Ramadan’. Program ini turut disertai oleh para penyampai  radio  IKIMfm  bersama-sama sukarelawan Islamic Aid Malaysia (IAM). Penjelajahan selama hampir sebulan di tiga buah negeri ini bukan sekadar untuk menghulurkan sumbangan semata-mata, tetapi juga melibatkan pengisian program yang berunsurkan dakwah dan kerohanian bagi tujuan mengimarahkan lagi sambutan bulan Ramadan pada tahun ini.

Orang ramai khususnya pendengar setia Radio IKIM.FM boleh mendengar secara eksklusif berkaitan misi jelajah “Imarah Ramadan 1436H” ini  melalui Radio IKIM.FM dari masa ke semasa di sepanjang bulan Ramadan.

Kempen ini akan diteruskan di sepanjang bulan Ramadhan 1436H/2015.  Sebarang bantuan yang ingin dihulurkan, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi Islamic Aid Malaysia (IAM) iaitu www.iam.org.my atau menghubungi pihak Islamic Aid Malaysia (IAM) di talian 03-89485939/019-3973558.

Kongsi artikel ini di:

Farouq Zauji

Beliau merupakan Penyampai Sambilan di IKIMfm dan bertugas sepenuh masa bersama Islamic Aid Malaysia (IAM) dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kemanusian dalam dan luar negeri.