Ibrah Kisah Isra’ Mikraj Nabi

PERISTIWA Isra’ Mikraj yang berlaku ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW bertujuan mengajar erti kehambaan kepada Allah SWT. Menerusi segmen Ibrah yang ke udara di IKIMfm Isnin minggu lalu jam 5.15 petang, Ustaz Muhammad Syaari Abd Rahman berkongsi kisah Isra’ Mikraj dan bagaimana kita perlu sentiasa bermotivasi dan mengambil pengajaran daripadanya.

Perjalanan Rasulullah SAW dalam peristiwa Isra’ Mikraj mengajar kita semua sebagai pendakwah, ada masa dan ketikanya kita perlu berehat sejenak daripada berdakwah serta berikan pengisian buat diri kita dengan kisah-kisah yang mampu memotivasikan diri.  

Allah SWT telah merehatkan seketika Rasulullah SAW dalam satu malam untuk Allah SWT berikan hiburan kerohanian yang akan memajukan motivasi Rasulullah SAW ke hadapan. Persoalan yang perlu kita fikirkan, dalam peristiwa Isra’ Mikraj ini mengapa sepanjang perjalanan untuk bertemu Allah SWT, Nabi singgah di Masjid Al-Aqsa serta bertemu dengan para nabi.

Dalam peristiwa ini, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan kehadiran para nabi yang menurut ulama’, roh 124 ribu para nabi dihadirkan ke Masjid Al-Aqsa bagi menantikan kehadiran penghulu segala nabi, Nabi Muhammad SAW. Apabila Nabi SAW tiba di Masjid Al-Aqsa dengan menaiki buraq, Nabi SAW kemudiannya dipertontonkan dengan Nabi Musa AS, Nabi ‘Isa AS dan Nabi Ibrahim AS bersolat. Pasti satu perasaan gembira hadir dalam jiwa Rasulullah SAW saat mana diperlihatkan dengan sejumlah besar para nabi yang dahulunya turut berjuang seperti Baginda.

Perhentian Rasulullah SAW di Masjid Al-Aqsa sebagai simbolik meneruskan perjuangan para anbiya’ yang majoritinya dari Palestin. Ianya bukan semata-mata masjid itu, tetapi diperlihatkan dengan situasi para nabi yang mendirikan solat di Masjid Al-Aqsa dengan penuh kerehatan dan kegembiraan. Ini mengajarkan kepada Rasulullah SAW, solat akan menjadikan Baginda kuat. Baginda juga mengimamkan para nabi yang berkumpul di Masjid Al-Aqsa. Dalam keadaan duka Baginda ketika di Makkah, ditolak dakwah Baginda serta dicaci dan dicemuh. Allah SWT hadirkan motivasi pertama buat Baginda SAW ketika di Masjid Al-Aqsa iaitu mengimamkan para nabi.

Hal ini mengajar kita, sekuat manapun ujian dan musibah yang menimpa kita, jadikan solat sebagai kekuatan sepertimana yang dilakukan oleh para nabi yang terdahulu. Jangan biarkan diri kita diperhambakan oleh emosi dan syaitan dengan ujian-ujian ynag melemahkan kita. Sekiranya perasaan kehambaan kepada Allah SWT sentiasa menebal dalam diri kita, maka akan datang kekuatan untuk kita menghadapi apa juga ujian.

Rasulullah SAW tidak sekadar diperlihatkan dengan para anbiya yang solat ini ketika di Masjid Al-Aqsa semata-mata, bahkan ketika mikraj sekali lagi Rasulullah SAW dipertemukan dengan para nabi ini.

Nabi SAW diperjalankan ke langit yang pertama. Timbul persoalan, mengapa perlu bertemu lagi dengan Nabi Adam AS. Bahkan terdapat adegan saling memberi salam antara Nabi SAW dan Nabi Adam AS. Motivasi dan kegembiraan kedua buat Baginda Nabi SAW adalah saat bersua dengan Nabi Adam AS. Dahulunya Nabi SAW hanya mendengarkan tentang Nabi Adam AS melalui Jibril AS, kini dapat bersua dengan Nabi Adam AS bersemuka. Pasti suatu yang sangat menggembirakan Nabi SAW.

Di langit yang kedua, Nabi SAW sengaja dipertemukan oleh Allah SWT dengan Nabi Yahya AS dan Nabi ‘Isa AS. Ucapan daripada Nabi ‘Isa AS yang sangat memberi kesan motivasi kepada Nabi SAW dengan lafaz “Marhaban Bi Akhi As-Soleh Wa Nabi As-Soleh”.

Kemudian diperjalankan Nabi SAW ke langit yang ketiga dan bertemu dengan insan yang paling indah rupa parasnya. Saat bersua dengan Nabi Yusuf AS, Baginda SAW teringatkan surah Yusuf dan kisah bagaimana Nabi Yusuf AS diusir oleh saudara-sadaranya sendiri. Menjadi kekuatan buat Baginda Rasulullah SAW saat Nabi Yusuf AS mengukirkan senyuman dan melafazkan salam kepada Baginda SAW.

Di langit keempat, Nabi SAW bersua dengan Nabi Idris AS yang Allah SWT sebut di dalam Surah Maryam ayat 57 yang bermaksud : Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya. Manakala di langit yang ketujuh, Allah SWT pertemukan Nabi SAW dengan Nabi Harun AS. Inilah nabi yang fasih tutur bicaranya yang menyokong perjuangan Nabi Musa AS.

Kemudian, Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan Nabi Musa AS di langit yang keenam. Adegan pertemuan itu diakhiri dengan salam beserta tangisan Nabi Musa AS. Lantas Baginda Rasulullah SAW bertanya kepada Nabi Musa AS, mengapa menangis?. Nabi Musa AS kemudian berkata “ Ya Muhammad, aku menangis kerana akan ada seorang pemuda yang bangkit selepas aku, yang mana pengikutnya lebih ramai masuk ke syurga berbanding pengikutku”. Mendengarkan itu, bertambah motivasi Baginda SAW meneruskan dakwah Baginda. Di langit yang ketujuh, alangkah gembiranya Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan moyangnya sendiri, Nabi Ibrahim AS sedang bersandar berehat di Bait Al-Ma’mur.

Nabi SAW diberikan kekuatan dengan laaz-lafaz daripada nabi-nabi terdahulu termasuk penjaga pintu langit. 7 petala langit memuliakan dan mengenali Baginda Nabi Muhammad SAW. Beruntunglah kita umat Nabi Muhammad SAW.

Apabila kita berada dalam keadaan diuji oleh Allah SWT, jangan biarkan telinga kita tidak mendengar ucapan-ucapan motivasi. Kuatkan diri kita dengan kuasa perkataan.

Saat kita lemah kerana ujian, datangkanlah kata-kata positif yang mampu membangkitkan semangat kita. Tidak lain tidak bukan, lafazkan pada diri “aku hamba Allah”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 17 Mei 2016
Scroll to Top