Ia Bermula Dari Dapur

Firman Allah SWT di dalam Al Quran Surah Al Baqarah ayat 168: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” Makanan adalah antara nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hambaNya didunia. Bahkan,  Antara nikmat ahli syurgajuga  ialah makan. Semua makanan didunia akan diberikan di syurga dan malah lebih baik dari segala isi nikmat di dunia ini.

Bercakap berkenaan makanan, Islam amat mementingkan kesihatan seseorang daripada segi jasmani mahupun rohani. Kesihatan merujuk kepada kesihatan rohani, akli, psikologi dan juga jasmani di mana ia saling berhubungkait dan bersatu padu secara menyeluruh. Individu yang sihat akan mampu memahami dan melaksanakan suruhan Allah dengan hati yang ikhlas.

Jalan utama kepada kesihatan fizikal selalunya dikaitkan dengan pengambilan makanan yang baik. Di dalam Al Quran banyak mengajar manusia tentang tabiat makan yang sihat dan pemakanan yang baik. Panduan tersebut bukan sekadar bertujuan untuk mengekalkan kesihatan jasmani manusia malah juga kesihatan rohani.

Dalam usaha  membolehkan seseorang itu mendapatkan makanan, Setiap dalam kalangan kita dituntut untuk mencari rezeki. Rasulullah SAW  amat menekan kepentingan mencari rezeki yang halal sesudah menunaikan ibadah yang fardu. Hal ini, menggambarkan kepada kita bahawa rezeki yang halal bukan sahaja baik daripada pandangan Islam. Malah rezeki yang halal juga akan mempengaruhi peribadi seseorang. Oleh yang demikian, Islam amat menekankan aspek kesucian dalam mencari rezeki.

Allah SWT memerintahkan kepada kita semua agar selalu mencari rezeki dari sumber yang halal. Dan perintah ini banyak ‎terkandung dalam ayat Al-Quran, diantaranya adalah firman-Nya: “Maka makanlah yang baik dari rezeki yang telah diberikan oleh Allah kepadamu, dan bersyukurlah akan ni’mat ‎Allah jika kamu benar menyembahNya semata-mata.”‎  (QS. An-Nahl: 114).

Rezeki itu boleh pula datang dengan pelbagai kaedah. Ada rezeki yang datang dengan bekerja dengan organisasi dan ada pula yang bekerja sendiri seperti berniaga, bertani, atau selainnya yang mendatangkan sumber pendapatan. Lazimnya manusia tidak suka terlibat dengan cara yang haram dalam mendapatkan rezeki seperti merompak, mencuri, dan jalan-jalan maksiat kerana bukan sahaja salah dari sudut undang-undang malah ia dilihat sebagai perbuatan yang hina dari sudut pandangan masyarakat.

Namun, pernahkan kita merenung apakah rezeki kita dari jalan yang halal itu juga sudah tentu terjamin keberkatannya. Sebagai contoh, seorang pekerja di sebuah syarikat mempunyai pekerjaan yang baik dengan jawatan dan gaji yang lumayan, tetapi mengamalkan sikap seperti tidak amanah dalam tugas yang diberikan, mengambil rasuah, menipu majikan dan sebagainya.

Perbuatan yang tidak beretika sebegini walaupun bekerja dalam bidang yang halal sedikit sebanyak menyumbang kepada hilangnya keberkatan sumber rezeki yang diperolehi dan hal-hal sedemikianlah yang boleh membawa kepada  tercemarnya sesuatu keberkatan rezeki yang diperolehi. Ia juga membuka ruang kepada dosa besar yang akibatnya membawa kepada api neraka di akhirat kelak.

Dalam usaha kita menjaga hati dah akhlaq, kadangkala kita terlepas pandang dalam mencari apakah kekurangan dan permasalahan yang berlaku dalam rumahtangga hari ini seperti sikap negatif anak-anak, isteri mahupun suami selaku ketua keluarga. Ketahuilah kaitan makanan yang halal dan berkat itu merupakan antara punca kepada kelembutan hati dan ketenangan juga dalam melahirkan sifat ikhlas serta ringan badan dalam menunaikan ibadah selain  bersifat baik terhadap orang lain.

Dalam Rancangan Pesona D’Zahra di Ikimfm minggu lalu Ustaz Muhammad bin Abdullah Al- Amin berbicara berkenaan tajuk “Ia bermula dari Dapur” sebagai simbolik kepada makanan atau rezeki yang diperoleh dan diberikan kepada ahli keluarga. Satu muhasabah minggu ini, ketua keluarga yang bertanggungjawab menyediakan makan minum ahlinya, perlu memastikan rezeki yang dibawa balik untuk makanan ahli keluarga adalah dari sumber yang halal dan baik kerana ia menjadi teras dalam rumahtangga yang tenang dan soleh.

Jika seseorang itu  mengamalkan makanan yang baik dan berkhasiat akan dapat dilihat kesannya dari sudut fizikal yang sihat, begitulah juga dari sudut rohani, makanan yang diperoleh dari rezeki yang halal  akan memberi ketenangan, dan tingkah laku yang baik.

Sikap utama seorang mukmin adalah selalu teliti akan harta yang diperolehinya. Orang beriman akan berusaha untuk mendapatkan harta yang halal lagi berkat.  Harta yang banyak, tetapi tidak ada keberkatan padanya tidak membawa apa-apa erti, malah boleh menjadikan seseorang itu sentiasa berasa tidak cukup sehingga sanggup menerima rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Sebaliknya, harta yang sedikit tetapi berkat akan membawa ketenangan dan mempunyai kesan yang baik dalam segenap kehidupan.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh daripada rezeki yang haram, neraka adalah paling utama baginya.” (at-Thabarani). Kehidupan bagi umat Islam yang beriman dan bijaksana memahami ianya bukan setakat berakhir di dunia, malah ia akan berterusan ke kehidupan yang hakiki di akhirat. Sebab itu, rezeki yang haram akan menjerumuskan seseorang ke neraka di akhirat kelak.

Sehubungan itu, Islam melarang umatnya mencari rezeki dan memperoleh harta daripada sumber haram, seperti rasuah, mencuri, menipu, menganiaya dan melakukan kerja haram. Antara tanda rezeki diperoleh tidak berkat ialah , Jiwa sentiasa tidak tenang walaupun memperoleh dan memiliki harta banyak. Harta yang diperoleh mudah hilang tanpa diketahui kemana tujuannya, melahirkan sifat sombong dan tamak untuk menambah dan memiliki lebih banyak harta hingga melalaikan ibadah,  Ibadah tidak sempurna dan sukar menerima pendidikan terutama berkaitan agama.

Sekiranya dalam bermuhasabah amalan mencari rezeki kita menyedari bahawa mungkin adakalanya  terbabit dalam Unsur-unsur syubhat dalam perolehan rezeki baik secara sedar atau tidak, sengaja atau tidak sengaja, terdapat cara untuk membersihkan kembali rezeki tersebut.

Perkara pertama yang wajib bagi setiap penyesalan adalah bersegera bertaubat kepada Allah dengan taubat, yaitu dengan memohon ampunan kepada-Nya atas segala dosa yang telah diperbuatnya, menyesalinya dengan sebesar-besar penyesalan dan bertekad  untuk tidak mengulanginya kembali di kemudian hari.

Selanjutnya, agar taubatnya sempurna dan diterima Allah maka hendaknya ia membersihkan kekayaannya dan pendapatannya dari segala modal dan harta yang diperolehnya dengan cara yang haram.

Ia boleh dilakukan dengan cara menginfakkan harta benda atau sebahagian rezeki syubhah tersebut  dan disalurkan ke jalan-jalan yang mendatangkan kemaslahatan bagi masyarakat secara umum.

Perlu diingatkan, selain yang jelas kesalahan dalam usaha mencari rezeki melalui cara yang haram,  apa pun jua jenis perniagaan mahupun pekerjaan yang halal pun, adakalanya tidak kita sedari berlaku unsur syubhah dalam urusniaga kita, justeru keluarkanlah zakat dan sedekah bagi memastikan rezeki itu benar-benar bersih.

Marilah kita senantiasa bertaqwa kepada Allah SWT, taqwa dalam arti melaksanakan segala perintah dan mencegah segala laranganNya. Bahkan ketaqwaan itu harus kita tingkatkan sehingga kita ini benar-benar tergolong sebagai muttaqien, yaitu orang-orang yang bertaqwa, yang telah diberi janji oleh Allah SWT dengan kehidupan yang baik di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya semulia-mulia manusia disisi Allah SWT adalah orang yang paling bertaqwa kepadaNya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 24 November 2014
Kongsi artikel ini di:

Hajah Mazlina Ismail

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Psikologi & Kesihatan Mental, Book of Assistance, Smart Parents dan banyak lagi.