How to feel good?

SECARA teorinya setiap orang yang bangkit dari tidur dalam waktu sepuluh minit pertama akan menentukan nilai positif dirinya sepanjang hari. Dengan kata lain sepuluh minit selepas bangkit dari tidur seseorang itu hendaklah positifkan diri dengan mendapat mood emosi yang terbaik bagi dirinya supaya dengan berfikiran positif akan mendapat hasil dari tindakan yang positif.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang bersiaran di radio IKIMfm setiap Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata apabila bangkit dari tidur kita perlulah berada dalam situasi yang positif seperti berfikir perkara yang baik-baik, bercakap perkara yang baik dan bertindak perkara yang baik juga. Ini kerana tindakan dan cara kita berfikir di awal pagi iiatu apabila bangkit sahaja dari tidur akan menentukan kejayaan kita pada hari tersebut. Sebab itu kita perlu pertahankan perasaan dan emosi positif kita sehingga jam 10 pagi kerana apabila kita memperoleh pagi yang baik kerana bertindak dan berfikir perkara baik ianya akan mempengaruhi seluruh hari kita.

Ini kerana ada juga sesetengah orang yang apabila bangkit sahaja dari tidur akan merasa perkara-perkara yang negatif seperri marah, sedih, kecewa dan kekurangan yang menyebabkan perasaannya tidak keruan. Jika kita berperasaan begini hendaklah kita membaiki semula hati kita agar perkara yang negative tidak menjejaskan tindakan kita.

Justeru menurut Ustaz Pahrol, seandainya pada waktu sepuluh minit kita bangkit dari tidur kita didatangi perasaan negatif seperti marah, apa yang boleh dilakukan bagi membuang rasa kemarahan itu adalah dengan memaafkan, ini kerana memaafkan orang lain bererti juga kita memafkan diri sendiri. Jika kita ada perasaan resah gelisah, itu tandanya dosa kita kepada Allah mahupun, tindakan yang perlu kita ambil adalah perbanyakkan istigfar dan memohon taubat kepada Allah SWT, kerana dengan meminta keampunan dari Allah dan meminta maaf dari sahabat akan mengikis segala perasaan yang kurang selesa yang melekat pada jiwa dan sanubari kita.

Begitu juga seandainya kita bangkit dari tidur, kita merasa tidak ceria dan merasa sedih, itu bererti kita seorang yang kurang memberi. Ini kerana para bijak pandai juga mengungkapkan memberi itu lebih bahagia dari mereka yang menerima. Justeru, ringan-ringankan tangan untuk menghulur sedekah dan memberi apa yang termampu kerana dengan perbuatan memberi akan mendatangkan rasa bahagia dalam hati kita. Pepatah juga menyebut tangan yang menghulur bunga mawar pastinya tangan itu berbau harum. Oleh itu, memberi itu akan mendatangkan bahagia kepada si penerima namun sebelum itu si pemberi juga akan merasai terlebih dahulu nikmat kebahagiaan dengan pemberiannya itu.

Jika kita merasa tidak bercukupan dengan rezeki, tidak cukup dengan masa atau tenaga yang akan menyebabkan kita merasa resah, cepat-cepatlah kita ucapkan kalimah ‘Alhamdulillah’ kerana dengan merasa syukur dengan apa yang kita miliki akan menjadikan kita merasa cukup. Secara prinsipnya apabila kita bersyukur dengan hal yang sedikit Allah akan menambah lebih banyak nikmat dan kecukupan kepada kita. Jangan sesekali menunggu mendapat nikmat yang banyak baharu kita hendak bersyukur kerana nilai syukur bukan sewajarnya tentang berapa banyak yang kita perolehi tetapi bersyukurlah dengan apa yang kita ada.

Begitu juga seandainya didatangi dengan rasa dan perasaan malas apabila bangkit dari tidur, itu menandakan bukan kita tidak mampu untuk membuat sesuatu hal kebaikan atau apa sahaja perkara yang perlu dilakukan, tetapi rasa malas itu datang adalah kerana dua perkara iaitu dosa-dosa yang telah melekat pada pancaindera kita. Jika pancaindera kita telah terbiasa dihidangkan dengan perkara-perkara buruk atau maksiat ia menyebabkan kita menjadi malas dan tidak bermaya kepada perbuatan yang boleh mendatangkan manfaat dan kebaikan. Perkara kedua adalah kerana kita banyak memakan makanan yang haram. Makanan haram itu barangkali adalah hasil dari pekerjaan yang tidak halal. Mungkin juga dari hasil pendapatan kerana kerja yang curi tulang atau tidak sempurna. Begitu juga makanan yang datang dari sumber yang syubhah menyebabkan ianya tidak halal untuk dimakan. Perkara-perkara inilah yang menyebabkan kita menjadi bosan dan malas kepada perkara baik seperti malas untuk mendengar bicara ilmu, menolong orang dan sebagainya.

Oleh itu, jangan sesekali kita memandang remeh terhadap setiap perilaku kita setiap hari. Hati yang keras sukar untuk dilembutkan jika kita sendiri tidak berusaha untuk melentur hati dengan mengikuti pengajian agama di majlis-majlis ilmu, membaca al-Quran, berzikrullah dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW. Bangkitlah di awal pagi dengan hati yang sentiasa bersemangat dan selalu bersangka baik dengan kehidupan. Ianya akan diperolehi apabila hati kita bersih dari segala dosa dan noda. Ini kerana mukadimah akan menentukan natijah pada hari berkenaan. Apa yang pasti untuk menjadi mukmin yang berjaya dan cemerlang mestilah mengikuti apa yang diajar oleh ajaran agama Islam.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 22 November 2017
\"\"
Scroll to Top