Hentikan serangan ke Makkah, Madinah

KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan kebimbangan terhadap serangan peluru berpandu ke atas Makkah oleh puak Houthi Yaman, sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan jemaah haji.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Malaysia akan bekerjasama selain menyokong penuh tindakan diambil Arab Saudi dalam memastikan keselamatan kota suci itu.

Katanya, Malaysia tidak mahu mana-mana negara atau kumpulan bersenjata tertentu menyasarkan Makkah dan Madinah, sebagai lokasi menimbulkan ketegangan.

“Kebimbangan yang disuarakan kita ada asasnya kerana kita juga menghantar jemaah haji kita ke sana (setiap tahun).

“Kita tidak mahu juga ada campur tangan oleh pihak luar yang mungkin akan mengganggu kestabilan di Arab Saudi, ” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri juga mengharapkan tidak ada serangan atau provokasi dilakukan puak terbabit menjelang musim haji yang akan tiba kira-kira sebulan daripada sekarang.

“Dalam hal ini, kita tetap bersama Arab Saudi khususnya tindakan pentadbiran Raja Salman yang memperketatkan kawalan terhadap jemaah haji yang ada di sana.

“Hanya sebulan lagi sebelum wukup, kita harap tidak ada mana-mana kumpulan pengganas cuba mengambil kesempatan dengan ibadat itu, sehingga mengundang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

Pasukan Keselamatan Arab Saudi pada Khamis lalu memintas sebuah peluru berpandu balistik, dikenali sebagai ‘Burkan-1’, yang disasarkan 69 kilometer dari Makkah di kawasan Al-Wasliya di Wilayah Yaif.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat serangan terbabit.

Wisma Putra sebelum ini juga menjelaskan, Malaysia berharap konflik yang berterusan di Yaman dapat diselesaikan secara aman.

Menurut laporan media antarabangsa, puak Houthi pada Jumaat mengesahkan melancarkan peluru berpandu balistik Burkan-1 ke Arab Saudi tetapi berkata serangan itu disasarkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, lapangan terbang paling sibuk di negara itu.

Sumber Berita Harian Online

105total visits,2visits today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm