Hati Yang DiSayangi Allah (Siri 2)

Minggu ini kita sambung kembali berkongsi intipati berhubung tajuk ini untuk bahagian kedua. Mari kita soroti  apa yang disampaikan menerusi segmen Usrati yang ke udara pada hari Khamis lalu di IKIMfm jam 5.15pm bersama Ustazah Nor Hafizah binti Musa berhubung pelbagai kategori hati manusia.

Hati yang teguh ialah seseorang itu sentiasa taat, di mana dia mempunyai teguhan hati dengan Allah. Hati yang lembut bermaksud seseorang yang memiliki sifat lembut dan ihsan dengan masyarakat dan dengan orang sekeliling. Bagaimanakah kualiti seorang Islam (muslim) yang sepatutnya? Ada hadis yang menyebut mafhumnya, “walaupun esok akan kiamat dan di tangan kamu ada sebutir benih maka kamu kena juga menanam benih tersebut”. Begitulah sepatutnya kualiti seorang Muslim.

Biar apapun istilahnya sama ada ujian, dugaan atau musibah ia adalah perkara yang kita perlu lalui untuk menguji sabar kita. Adalah ralat kalau kita dapat ujian tapi itu tidak menjadikan kita lebih berhati jernih dan tidak dapat menjadikan diri kita lebih sabar. Tengoklah kesukaran yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW dan  Saidina Abu Bakar RA. Mereka juga melalui ujian yang macam-macam, walaupun rasulullah seorang nabi, tapi itulah hidup yang harus dilalui. Sabda Nabi SAW mafhumnya, “jangan takut, jangan sedih kerana Allah ada bersama-sama dengan kita”. Kadang-kadang kita ada merasa ketakutan, ada merasa kerisauan dan ada kesedihan yang perlu kita tempohi. Inilah proses untuk kita tanam keyakinan pada Allah.

Bila dikatakan pada orang beriman, ketika ada orang yang berkumpul untuk memusuhi kita, maka Allah menambah rasa yakin kepada orang beriman tersebut. Sehingga mereka berkata, “cukuplah Allah bagi kami, sebaik-baik Allah yang menolong dan melindungi”. Segala macam perkara yang kita lalui itu moga-moga dapat menjadikan kita lebih matang dan jernih.

Makin Allah sayang makin Allah menguji kita. Isu stress atau tekanan bukan sekali dua dibincangkan. Malah kita juga bukan tidak tahu cara untuk tenangkan diri, cuma kita ini kalah atau kurang berjaya untuk melaksanakan segala tip-tip untuk tenang itu. Perkataan yang sentiasa menjadi ranking nombor satu untuk kita dapat tenangkan diri, positif. Mungkin ada yang kata klise (sudah biasa sangat dengar). Mungkin ayat penerangan kali ini berbeza. Ujian? Itu perkara biasa. Sematkan begitu dalam fikiran. Buat yang selalu merasakan dirinya malang, sedarilah bahawa hidup ini silih berganti. Kalau sedih dan sakit, tidak selamanya kita dalam keadaan begitu. Begitu juga jika kita sering saja rasa sihat dan gembira, juga tidak selamanya kita bernasib baik. Maka sebab itu, dalam hidup kita kena terbang dengan dua sayap yang namanya sabar dan syukur. Proses kehidupan yang pelbagai itu adalah untuk Allah melihat siapa yang paling sabar, yang benar-benar menyatakan syukur pada Allah, yang paling baik amalannya. Janganlah hendak dikeluhkan sangat.

Kita kena bersiap sedia dengan pelbagai perkara yang tidak dijangka, jadi siapkanlah hati, laluilah dengan doa. Apapun yang jadi pada kita, kena berpegang teguh dengan Allah. Tida kiralah apa situasi dan keadaan kita. Sedih dengan Allah, gagal pun tetap dengan Allah, gembira juga dengan Allah. Jangan cepat putus asa. Stress bukan hanya beri kesan kepada perasaan malah juga fizikal dan mental. Kalau kita stress bawak-bawaklah rehat dan riadah. Sebaik-baik riadah ialah dengan solat. Caranya kita solatlah dengan sempurna. Cuba sujud dan rukuk dengan betul dan sempurna. Barulah kita akan rasa memang betullah solat yang sebegitu memang merupakan sebaik-baik cara untuk rehat dan riadah. Ini kerana otot-otot dan sendi-sendi kita telah digerakkan melalui sujud dan rukuk yang sempurna.

Orang yang stress mudah kena penyakit. Jadi rehatkanlah otak. Ada masa kita kena berhenti dari fikirkan masalah. Keluarlah dari bilik yang penuh dengan aura stress itu dengan ke tempat-tempat lain. Contohnya tolong jiran, bersihkan daun-daun kering dihalaman rumah sendiri atau cukup dengan menghirup udara baru. Maksudnya jangan duduk terperuk dalam rumah. Keluarlah untuk mendapatkan “mood” yang baru. Untuk mengubat stress juga, kita kena uruskan juga perkataan-perkataan yang keluar dari mulut. Hakikatnya hati kita ini lebih banyak mengeluarkan kata-kata berbanding mulut. Kalau hati yang asyik mengeluh, memang suka tengok semua perkara dengan negatif.

Sesetengah daripada kita ada jenis yang suka sangat komen itu dan ini. Contohnya ketika tengah menonton televisyen (tv), tentu kita akan mengomen rancangan yang kita tonton itu. Ada saja yang tidak kena, baju tidak cantiklah, tidak pandai cakaplah, nyanyi tidak sedaplah dan macam-macam yang kita komen, kan. Kalau kita jenis yang suka sangat komen orang, cuba belajar untuk tahan dulu. Tahan kata-kata komen kita itu, sebabnya kadang-kadang benda tidak seberapa sangat, tapi kita sudah duduk dalam zon emosi yang tidak terkawal.

Sama juga bila kita dengar sesuatu berita atau cerita tentang seseorang. Ramai sangat yang mudah percaya, padahal berita itu belum tentu betul. Jadi belum apa-apa lagi, kita sudah membuat tanggapan negatif, maka mulalah timbul rasa geram atau marah, walhal hanya khabar angin saja. Jadi jangan sesekali atau mengulang diri kita untuk berada dalam zon emosi yang tidak tentu hala.

Beruntunglah orang yang boleh merasa tenang dalam hatinya. Rasa tenang ini satu anugerah. Bukan semua yang dapat memilikinya. Beringatlah selalu dalam kehidupan ini. Yang mana pasang surut dan angin lintangnya tidak siapa yang dapat tahu datangnya bila. Kawal hati, lidah juga akan terjaga. Jadilah orang baik yang boleh bentuk orang lain untuk jadi baik.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Oktober 2014

120total visits,1visits today

Siti Rohani Surani

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Usrati, Peka Bahasa, M-Tech, Kompas Kesihatan dan banyak lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Kami sedang menjalankan kaji selidik tentang Lagu-lagu Pilihan Pendengar Radio IKIMfm. Kaji selidik ini bermula dari 3 April hingga 16 April 2017.

Sertai kaji selidik ini sekarang. Responden yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa dari IKIMfm