Hati-hati beli suplemen kesihatan untuk pelajar

BESUT, 3 September: Ibu bapa perlu memastikan makanan kesihatan yang diberi kepada anak mereka tidak mengandungi unsur keracunan dan boleh memudaratkan kesihatan terutamanya dalam usaha untuk membantu mereka menghadapi peperiksaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusoff, berkata segelintir ibu bapa mudah terpengaruh membeli makanan kesihatan untuk meningkatkan minda pelajar terutama pada musim peperiksaan tanpa mendapatkan nasihat daripada pihak berkuasa kesihatan terlebih dahulu.

Menurutnya, pelbagai jenis makanan tambahan terutamanya yang diimport dari luar yang dikatakan boleh membantu meningkatkan minda pelajar, tahan mengantuk dan cergas, dijual secara terbuka yang didapati tidak mendapat pengesahan daripada pihak kesihatan.

“Kita bimbang dengan keghairahan ibu bapa untuk membantu anak-anak dalam peperiksaan dengan membeli makanan tambahan kepada mereka boleh memudaratkan jika bahan yang dibeli merupakan bahan tiruan yang boleh menjejas kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas berjumpa calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di SK Alor Lintah di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada lagi kes membabitkan keracunan kepada para pelajar di negeri itu yang mendapatkan makanan tambahan kesihatan untuk membantu mereka menghadapi peperiksaan.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Pehimi berkata pihaknya menyediakan hadiah berupa peruntukan RM20,000 kepada mana-mana sekolah di Dewan Undangan Negeri Jerteh yang berjaya meningkatkan prestasi pencapaian UPSR tahun ini.

Katanya, sekolah terbaik di peringkat negeri akan menerima peruntukan tersebut di samping para guru sekolah berkenaan pula akan dibawa pergi melancong pada akhir tahun ini.

Sempena Program Bertemu Calon UPSR DUN Jerteh, Muhammad Pehimi melawat 12 sekolah dan beliau turut menyumbangkan alat tulis kepada pelajar bagi persediaan mereka menghadapi UPSR yang bermula pada 8 hingga 10 September ini.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my