Harga LPG kekal – KPDNKK

KUALA LUMPUR 10 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan bahawa harga gas petroleum cecair (LPG) buat masa ini kekal pada kadar RM26.60 bagi tong 14 kilogram.

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad, berkata pengekalan harga gas itu diputuskan oleh Majlis Ekonomi Negara yang bermesyuarat semalam.

“Jadi buat masa ini harga LPG kekal pada RM26.60 (bagi tong 14 kilogram) tidak termasuk kos pengangkutan dari peruncit ke kediaman pengguna,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat dan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) 2014 di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Menteri Datuk Seri Hasan Malek.

Alias diminta mengulas sama ada kerajaan menetapkan harga baharu untuk gas itu selepas kementeriannya membentangkan cadangan berhubung perkara itu pada mesyuarat Majlis Ekonomi Negara.

Katanya, KPDNKK membentangkan cadangan harga baharu itu susulan keluhan pihak yang berkepentingan dalam industri LPG yang dikatakan menanggung kos pengeluaran yang semakin tinggi.

Alias berkata, harga gas LPG tidak pernah dikaji sejak 1999 atau 16 tahun lalu menyebabkan industri LPG berada dalam keadaan kritikal sekarang ini di mana bekalannya sedikit berkurangan.

Katanya, terdapat beberapa pengeluar gas itu menyatakan kepada kementerian bahawa mereka terpaksa mengurangkan pengeluaran LPG, malah ada yang menghentikan bekalan kepada beberapa negeri kerana masalah itu.

“Oleh itu KPDNKK telah mengambil beberapa inisiatif dengan membuat ‘engagement’ dengan pihak berkepentingan ini iaitu pada Januari lalu dan telah membentangkan perkara itu pada mesyuarat semalam,” katanya.

Menurutnya, pada mesyuarat itu Majlis Ekonomi Negara telah memutuskan langkah segera untuk menstabilkan bekalan LPG di pasaran di mana kerajaan akan menyuntik bantuan untuk menampung beberapa kos dalam struktur kos pengeluaran LPG dalam masa terdekat.

Selain itu katanya, dalam tempoh tiga atau empat bulan akan datang kerajaan juga akan memutuskan model-model perniagaan dalam industri LPG ini yang diharap dapat mengapungkan harga pasaran gas tersebut.

Dalam sidang media sama, Hasan berkata SSM akan memperkenalkan semula Insentif Penutupan Syarikat untuk semua syarikat-syarikat dorman atau tidak aktif yang diperbadankan antara tahun 2010 hingga tahun 2014.

Katanya, insentif itu yang akan berkuatkuasa mulai 1 April hingga 30 September tahun ini bertujuan membantu syarikat-syarikat tidak aktif atau dorman yang ingin menutup syarikat dengan mudah, cepat serta dengan kos yang rendah.

“Inisiatif ini juga dapat menggalakkan syarikat-syarikat tersebut daripada disalah guna bagi tujuan menyalahi undang-undang seperti aktiviti pengubahan wang haram dan aktiviti penipuan,” katanya.

Katanya, sebelum ini, inisiatif sama telah diperkenalkan pada 2012 dan sejak itu hingga sekarang terdapat sejumlah 13,879 permohonan penutupan syarikat dibuat kepada SSM.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my