Harga barangan di Sabah naik

KOTA KINABALU, 14 Disember – Pengguna di Sabah menanggung kenaikan harga barangan antara lapan hingga 12 peratus selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada April lalu.

Bagaimanapun, kebanyakan kes itu didapati disebabkan sikap peniaga menjadikan cukai berkenaan sebagai alasan untuk menaikkan harga.

Presiden Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS), Nordin Thani, mendakwa peningkatan harga turut didorong kos pengangkutan yang semakin mahal dengan kesannya paling dirasai di kawasan luar bandar kerana masalah perhubungan.

Beliau berkata, kesukaran mendapatkan harga rendah daripada pembekal turut menyukarkan peniaga menetapkan harga yang berpatutan menyebabkan pengguna menerima kesan berganda peningkatan kos sara hidup.

“Kerajaan sebelum ini menjelaskan GST tidak menyebabkan kenaikan harga atau jika berlaku ia hanya bersifat sementara. Bagaimanapun, berdasarkan pemantauan kita kebanyakan barangan di Sabah mengalami kenaikan harga kerana peniaga menjadikan GST sebagai alasan.

“Keadaan ini tidak akan berubah dan kita percaya situasi kenaikan harga barangan di negeri ini akan berterusan disebabkan pelbagai faktor, terutama kos pengangkutan dan pengurusan yang mahal,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai masalah dihadapi pengguna di Sabah khususnya di luar bandar yang berdepan peningkatan kos sara hidup berikutan harga barangan keperluan yang lebih mahal berbanding di bandar.

Katanya, CFOS melakukan tinjauan harga barangan di seluruh negeri sepanjang tahun ini untuk menyiasat aduan pengguna mengenai kenaikan harga barangan.

“Apabila ditanya pembekal, mereka memberi alasan GST dan kos pengangkutan, jadi sukar untuk menyelesaikan isu kenaikan harga tanpa komitmen padu daripada kerajaan untuk mengatasi masalah berkaitan,” katanya.

Nordin berkata, walaupun kerajaan menyediakan peruntukan khas sebanyak RM200 juta pada tahun depan untuk menyeragamkan harga barangan di negeri ini namun ia tidak memberi manfaat menyeluruh kerana terhad kepada pembekal dan peniaga tertentu.

Beliau berkata, satu mekanisme baharu perlu diwujudkan untuk memastikan pengedaran barangan tidak membebankan peniaga hingga memaksa mereka memindahkan bebanan itu kepada pengguna.

Katanya, antara pendekatan yang boleh dilaksanakan ialah melantik sebuah agensi khas mengawal pengedaran barangan dari Semenanjung ke negeri ini supaya harga ditawarkan peniaga dapat diseragamkan.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my