Hanya tukang masak tempatan mulai Januari 2019

PETALING JAYA, 22 Jun – Kementerian Sumber Manusia menggesa semua restoran di negara ini mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai ini.

Menterinya M. Kulasegaran, berkata bagaimanapun semua pengusaha akan diberi tempoh hingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan sahaja bekerja di restoran mereka dan peraturan baharu itu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2019.

“Kami mahukan orang tempatan diambil bekerja sebagai tukang masak. Tiada kompromi…kami beri masa hingga 31 Disember untuk berbuat demikian. Jika gagal, kami tidak dapat bantu lagi,” katanya di sini, semalam.

Sebelum itu, beliau mengadakan perjumpaan dengan anggota Persatuan Pengusaha Restoran India (Prisma) di Petaling Jaya.

Katanya kementerian akan mengadakan perjumpaan dengan Prisma serta Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim (Presma) dalam masa terdekat untuk membincangkan pelaksanaan tukang masak tempatan di restoran.

Kula Segaran berkata langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan restoran tempatan terhadap pekerja asing, sekali gus menjaga kualiti makanan tempatan.

Beliau berkata tindakan kementeriannya ini selari dengan langkah yang diamalkan kerajaan negeri Pulau Pinang, yang melarang warga asing menjadi tukang masak di kedai makan, restoran dan juga gerai sekitar pulau itu sejak 2014 dalam usaha memelihara warisan makanan negara.

Mengulas kenyataan Kulasegaran itu, Presiden Prisma P. Muthusamy berkata keputusan itu agak mengejutkan dan bakal memberi implikasi besar kepada pengusaha.

“Sejak beberapa tahun lalu, kita hadapi masalah mendapatkan tenaga kerja. Malah lebih 500 restoran ditutup sejak beberapa tahun lepas kerana kekurangan pekerja,” katanya.

Muthusamy berharap kementerian akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pengusaha kedai makanan di seluruh negara sebelum melaksanakan keputusan itu.

Presiden Presma, Ayub Khan pula berkata masalah pekerja di restoran semakin ketara kerana tidak ada pekerja tempatan yang mahu bekerja di restoran.

“Kami buat iklan, sanggup bayar gaji hingga RM2,500 pun orang tak nak datang (bekerja). Bukan senang (mahu) cari orang tempatan bekerja di restoran,” katanya.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.