Hadkan bidang pekerjaan warga asing – Puteri UMNO Kedah

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Kerajaan perlu memandang serius isu kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini dan mengehadkan bidang pekerjaan yang boleh diceburi mereka, kata wakil Puteri UMNO Kedah.

Ketua Puteri Bahagian Padang Terap, Zurina Zakaria, berkata kerajaan juga hendaklah memperketatkan pengambilan warga asing dan menggerakkan program penyelesaian menyeluruh PATI atau dikenali sebagai Program 6P dengan lebih agresif.

“Dengan kepesatan ekonomi negara ini, ramai pekerja asing masuk dan bekerja di sektor perindustrian, pembinaan, keselamatan dan pertanian yang akhirnya mewujudkan koloni-koloni khas warga asing sehingga mengubah suasana kependudukan negara dan menakutkan rakyat.

“Keadaan ini memperlihatkan hak masyarakat kita bagaikan semakin hilang dan dirampas apabila kawasan perniagaan tempatan seperti di Chow Kit dan Pasar Borong Selayang turut dikuasai oleh warga asing,” katanya ketika membahaskan usul sosial pada Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri UMNO 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Zurina berkata, isu kebanjiran warga asing di Malaysia dilihat semakin parah apabila dianggarkan hampir tujuh juta pekerja asing berada di negara ini.

Lebih membimbangkan, pendedahan oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem pada November tahun lepas menyatakan hanya 2.1 juta orang daripada jumlah itu yang mempunyai permit sah dan berdaftar dengan Jabatan Imigresen.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my