Hab Belia Untuk Jadikan Belia Produktif

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Kita biasa dengar golongan belia adalah pelapis kepimpinan negara, justeru, masa hadapan Malaysia terletak di tangan generasi muda.

Sehubungan itu, golongan ini perlu dilengkapkan dengan kemahiran serta kemampuan yang diiktiraf agar mereka dapat memainkan peranan yang boleh menyumbang kepada kemakmuran masyarakat dan negara.

Kerajaan negeri Johor sebagai contoh sentiasa memberi sokongan kepada keperluan golongan belia, antaranya mencetuskan ide penubuhan Hab Belia Antarabangsa Johor (JIYH).

Hab yang menelan kos RM20 juta ini dan dirancang di kawasan seluas 15 hektar di Hutan Bandar dijangka dilancar Sabtu ini (15 Ogos).

Menurut Hafiz Ariffin, ketua Majlis Belia Iskandar Malaysia yang diambil untuk membantu dalam penubuhan hab ini, meskipun ia ide kerajaan negeri, kegiatan di hab ini akan dirancang dan diuruskan oleh golongan belia sendiri.

Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) serta kerajaan negeri, Kementerian Belia dan Sukan dan beberapa pihak lain diberi kepercayaan untuk melaksanakan JIYH ini.

“Ia adalah hab dikendalikan belia untuk belia,” kata Hafiz kepada Bernama serta menambah hab ini memberi peluang kepada golongan belia mengemukakan idea masing-masing tentang cara untuk mereka menjadi produktif.

Golongan belia di Johor boleh menganjurkan kegiatan seperti kursus, kerja-kerja sukarela, kegiatan berkait dengan seni, budaya dan warisan serta perniagaan.

Malahan mereka boleh menganjurkan sukan lasak serta kegiatan yang berbentuk positif lain yang mereka minati.

Menurut Hafiz, memandangkan golongan belia mempunyai kesukaan dan kekuatan yang berbeza, mereka boleh menjadikan hab itu sebagai tempat perjumpaan dan jalinan kerjasama.

Sementara itu, Maimunah Jaafar, Ketua Perancangan dan Pematuhan IRDA memberitahu Bernama, golongan belia dan IRDA akan berganding bahu memainkan peranan aktif untuk memastikan hab itu menyediakan pelbagai kegiatan untuk belia.

“Orang muda mempunyai bahasa mereka sendiri. Jadi kami dapatkan penglibatan orang seperti Hafiz,” katanya sambil menambah ide hab itu pertama kali dipaparkan di Facebook dan menerima lebih 6,000 like.

Ramai juga menyatakan minat untuk menyertai hab itu.

“Kami telah lama menjalin hubungan dengan golongan belia dan kami mahu mereka sendiri menyediakan program atau kegiatan.

“Malahan kami memberitahu mereka cara untuk mendapatkan pembiayaan untuk program mereka,” katanya.

Menurut Maimunah, berdasarkan program yang sedang dianjurkan di wilayah Iskandar, belia Melayu menunjukkan minat untuk menyertai kursus dan ceramah dalam bidang keusahawanan dalam talian.

Belia Cina, katanya, berminat untuk menambah ilmu pengetahuan sementara belia India berminat untuk mempelajari lebih mendalam tentang dunia korporat.

Kedua-dua Maimunah dan Hafiz berpendapat hab itu akan dapat menyatukan golongan belia daripada pelbagai latar belakang serta minat.

Di samping itu, kata mereka, ia diharap mampu meningkatkan kemampuan masing-masing melalui pelbagai program atau menyediakan kegiatan produktif untuk mengisi masa mereka.

Memandangkan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sendiri amat komited dalam pembangunan belia di negeri itu, beliau dijangka meluangkan masa untuk berjumpa sendiri dengan belia-belia di hab itu pada majlis pelancaran Sabtu ini.

Lebih 1,000 orang dijangka menghadiri majlis pelancaran ini dengan kegiatan disambung pada hari berikutnya, iaitu hari Ahad 16 Ogos di Hutan Bandar Majlis Bandar Raya Johor Baru.

Banyak kegiatan menarik dijadual diadakan untuk para pengunjung.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my