Gunung Sinabung muntah asap dan debu tebal

KARO (INDONESIA), 19 Feb – Gunung berapi yang meletus, di sini, hari ini, muntah debu dan asap tebal kira-kira 5,000 meter sekali gus memaksa penduduk diselubungi debu meninggalkan kampung mereka manakala pegawai bertugas sibuk mengagihkan topeng muka kepada mangsa terbabit.

Gunung Sinabung di pulau Sumatra, yang mengalami gegaran sejak 2010 malah menyaksikan letupan membawa maut pada 2016, memuntahkan asap tebal selepas baru-baru ini disahkan kembali aktif.

“Ini adalah letusan terbesar Sinabung untuk tahun ini, ” kata ketua agensi vulkanologi, Kasbani.

Namun tiada laporan mengenai kemalangan jiwa dan kecederaan.

Penduduk tidak dibenarkan tinggal di kawasan diisytiharkan berbahaya di sekitar gunung berapi berkenaan. Namun, ratusan kediaman dibina di luar tujuh kilometer zon bahaya kini diselaputi abu gunung.

Pegawai mengagihkan topeng muka dan mengeluarkan arahan agar penghuni tidak keluar rumah bagi mengelakkan masalah sesak nafas, kata pegawai agensi mitigasi bencana tempatan, Nata Nail Perangin-angin.

“Di sesetengah kampung yang lokasinya hampir lima meter dari gunung berkenaan menyaksikan persekitaran gelap gelita,” kata Perangin-angin.

Sumber AFP

Kongsi artikel ini di:

Pentadbir Laman Web

Pentadbir Laman Web IKIMfm