Golongan agamawan perlu bantu tangani ekstremisme – Zahid

KUALA LUMPUR, 27 Mac 2018 – Golongan agamawan perlu mengetuai peranan dalam menangani ancaman ekstremisme dan pelampau, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri menggesa kesederhanaan dalam semua kepercayaan dan agama untuk mengembalikan agenda perdamaian dan pragmatisme sekali gus meminggirkan ekstremisme serta radikal.

“Golongan ekstremisme dan radikal tidak mempunyai agama atau budaya. Mereka berpenyakit kerana boleh menyebabkan perpecahan dan kemusnahan dalam masyarakat.

“Atas alasan ini, penganut agama di seluruh dunia perlu tampil ke hadapan dan menyokong agenda kesederhanaan kerana ia adalah pendekatan terbaik untuk menangani masalah ini selain kemudaratan yang disebabkan oleh pemikiran ekstrem serta salah pemahaman dalam prinsip keagamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Simposium Antarabangsa mengenai Kesederhanaan Dalam Masyarakat Pelbagai Agama: Menuju Keamanan dan Keharmonian di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.

Ahmad Zahid berkata, mempromosikan keamanan dan keharmonian menerusi kesederhanaan adalah langkah pertama yang penting dalam menuju kepada agenda yang lebih besar iaitu penyatuan dalam pelbagai agama serta masyarakat.

“Bagi mencapai visi ini ialah dengan mempromosikan (konsep) penerimaan bersama, hormat-menghormati dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai agama sekali gus memastikan dunia ini menjadi tempat yang lebih baik untuk semua manusia,” katanya.

Malaysia katanya, sudah membuka laluan dalam mempromosikan konsep kesederhanaan apabila

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri mengiktiraf Resolusi Kesederhanaan Malaysia pada Perhimpunan Agung ke-72 badan dunia itu tahun lalu.

Beliau berkata, selain 2019 sebagai tahun kesederhanaan antarabangsa, resolusi terbabit juga adalah sebagai usaha Malaysia mempromosikan konsep kesederhanaan menerusi dialog, toleransi, kesefahaman dan bekerjasama.

“Liga Dunia Islam juga mengiktiraf Malaysia sebagai contoh terbaik sebuah negara yang harmoni di dunia selain menjadi contoh mengamalkan pendekatan kesederhanaan dan wassatiyah,” katanya.

Dalam konteks Malaysia, Ahmad Zahid berkata dialog menjadi mekanisme terbaik dalam mempromosikan persefahaman bersama, sikap hormat-menghormati dan berkongsi perspektif dalam isu membabitkan kemanusiaan termasuk mengekalkan keamanan dan keharmonian.

“Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian agama dan budaya, konsep kesederhanaan amat penting dan menjadi cabaran untuk mengekalkan keamanan yang dikecapi selama ini,” katanya.

Katanya, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan rakyat berbilang kaum di negara ini dapat hidup bersama dengan aman dan selamat.

Sumber BERITA HARIAN

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my