Gangguan Niat

DALAM rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin jam 10.15 pagi, Ustaz Muhammad bin Abdullah al-Amin bercerita tentang “gangguan-gangguan niat”.  Antara yang dimaksudkan dengan gangguan niat ini ialah niat yang berubah dari niat asal setelah berlalunya masa kerana faktor-faktor luaran yang mengubah pendirian tersebut.  Beliau memulakan dengan bercerita tentang kehadiran  seorang wanita bertemu dengannya dan mengadu bagaimana suaminya telah kembali ke tabiat asalnya dahulu iaitu meminum minuman keras dan berfoya-foya dengan wanita. Maka apabila ditanya adakah suaminya itu seorang yang dilahirkan beragama Islam. Maka wanita tersebut menjawab, tidak dia merupakan seorang lelaki yang asalnya bukan beragama Islam. Wanita tersebut telah  berkahwin dengannya dengan hasrat untuk menarik beliau memeluk Islam. Walaupun mendapat tentangan dari keluarga, namun wanita tersebut tetap berkers berkahwin dengan lelaki pilihannya itu kerana niat beliau pada ketika itu ialah dalam mengislamkan seorang hamba Allah. Ustaz menjelaskan bahawa, ingat kembali niat asalnya berkahwin dahulu ialah untuk membawa suaminya itu memeluk Islam, dan dia telah berjaya dalam hal ini. Maka sepatutnya beliau bersyukur bahawa sudah Islamnya seorang hamba Allah, dan sudah selamat seorang hamba Allah dari terus dihumban ke dalam neraka dan kekal di dalamnya. Apa yang perlu dilakukan sekarang ini memperbaiki keadaan, meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam suaminya itu terhadap ajaran Islam. Beliau jangan berputus asa, kerana niat asalnya sudah pun berhasil cuma niat-niat selepas itu iaitu mengharapkan suaminya menjadi seorang yang beramal dengan ajaran Islam belum lagi terlaksana.  Maka ini perlu diusahakan secara berterusan dan perlahan-lahan

Begitu juga ada seorang ahli perniagaan yang berniat sekiranya beliau kaya dan menjadi jutawan, beliau berniat akan membina sebuah rumah anak yatim. Ditakdirkan Allah SWT beliau diberi limpahan kekayaan yang banyak melimpah ruah. Namun pada ketika itu beliau telah melupakan niat asalnya untuk membina rumah anak yatim, tetapi sebaliknya menggunakan kekayaannya itu untuk membeli rumah besar, kereta mewah, menambah isteri dan macam-macam lagi. Apabila ditanya, bila mahu dibina rumah anak yatim sepertimana yang pernah diniatkan dulu beliau berkata “tunggu dulu”.  Beliau tidak menyedari bahawa kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT itu mungkin merupakan antaranya keberkatan niat asalnya untuk membina rumah anak yatim tersebut. Ditakdirkan Allah SWT, perniagaan usahawan ini selang beberapa ketika merosot dan merudum sehingga beliau kembali kepada keadaan susahnya seperti awal dahulu. Maka pada ketika ini, beliau menginsafi dan kembali berniat untuk membina rumah anak yatim.

Perkara sebegini sering terjadi dan Ustaz Muhammad bin Abdullah Al-Amin mengingatkan agar kita tidak menjadi orang yang sebegini kerana jika niat awal kita itu berupa nazar, maka ianya menjadi berdosa jika kita melaksanakan nazar tersebut kerana ia telah menjadi wajib untuk dilaksanakan.  Kita kena insaf bahawa setelah kita berniat  untuk melakukan kebaikan, maka kemungkinan kejayaan kita selepas itu kerana niat kita yang baik dan murni lalu Allah SWT memberkatinya.  Perkara ini perlu kita kenang apa yang diniatkan pada awalnya. Misalnya ada orang berniat sekiranya dapat pekerjaan, gaji bulan pertama akan diberikan kepada ibubapanya dan akan memulakan caruman untuk mengerjakan haji. Ditakdirkan Allah SWT, beliau memperolehi pekerjaan maka beliau hendaklah laksanakan apa yang diniatnya kerana kejayaannya itu adalah kerana keberkatan yang diberikan Allah SWT atas niat murni kita itu. Yang sering melupakan matlamat kita ini ialah syaitan supaya kita melupakan niat murninya itu.

Kedua, matlamat penting kita perlu sering ingat niat asal kita ialah agar kita tidak menjadi orang yang lemah semangat jika ditimpakan ujian-ujian yang pelbagai. Ada orang yang berniat apabila pencen beliau ingin memakmurkan masjid. Namun ditakdirkan Allah SWT, beliau dilantik menjadi ahli jawatankuasa masjid. Namun beliau diuji dengan pelbagai cemuhan oleh ahli qariah atas bermacam perkara samada dilaksana atau tidak dilaksanakan oleh masjid. Maka, sepatutnya kita kena insaf bahawa niat awal kita dahulu ialah untuk memakmurkan masjid maka tidak perlu kita pedulikan apa yang dikatakan oleh orang lain.

Akhir sekali, ada beberapa faktor yang boleh membantu kita untuk mengingatkan kembali tentang niat asal kita. Pertama ialah memiliki seorang sahabat yang baik yang mampu mengingatkan kita dan menasihatkan kita apabila kita lalai. Ini sepertimana yang disebut dalam hadith, mafhumnya “seseorang itu bergantung kepada teman yang didampinginya, mak perhatikan siapa temannya” (HR Abu Dawud dan Tirmidhi). Dalam hadith lain disebutkan mafhumnya, “Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi, atau engkau boleh membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, bisa jadi (percikan apinya) mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak sedap.” (HR Bukhari, Muslim).

Kedua yang boleh membantu mengingatkan seseorang tentang niat asalnya ialah guru yang mursyid. Orang yang sering mendampingi gurunya, si guru akan menasihatkannya apabila melihat beliau tergelincir daripada niat asalnya atau lalai dalam amalan kebajikan yang sepatutnya dilaksanakannya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 2 Disember 2015
Kongsi artikel ini di:

Hajah Mazlina Ismail

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Psikologi & Kesihatan Mental, Book of Assistance, Smart Parents dan banyak lagi.