Forum Kesihatan Perspektif Syariah Perlu Diperluas Ke Seluruh Sabah

coq-health-baik-untuk-jantung-dan-kesihatan-menyeluruh

TAWAU, 26 Okt – Penganjuran forum berkaitan kesihatan dari segi perspektif syariah perlu diperluas ke kawasan lain di Sabah agar dapat memberi pemahaman dan pendidikan kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Ismail Ali berkata forum yang dihadiri panel bertauliah itu akan dapat memberi penjelasan terperinci seterusnya membantu mengelakkan kekeliruan berkaitan kesihatan dan syariah Islam yang sering menjadi perdebatan umum.

“Perkembangan teknologi dan ilmu dalam bidang kesihatan sememangnya amat merumitkan dan memberikan cabaran kepada pakar semasa untuk memberi kefahaman, apatah lagi isu kesihatan yang dikaitkan dengan syariah, justeru forum sedemikian boleh membantu memberi pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Promosi Kesihatan), Ab Razak Md Noh pada Majlis Penutupan Bicara Kesihatan Dari Perspektif Syariah di Dewan Auditorium Perpustakaan Tawau di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, institusi berkaitan fatwa juga perlu memahami dan mendepani isu serta cabaran semasa yang membelenggu umat Islam berkaitan kesihatan dari sudut Islamik.

“Ini bagi dapat memberi jalan keluar, kefahaman dan panduan berasaskan fatwa semasa yang diputuskan,” katanya lagi. Terdahulu, program berkenaan menumpukan khusus berkaitan kawalan dan pencegahan terhadap epidemik merokok dan imunisasi dalam kalangan masyarakat.

Sumber – BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Syafiq Salleh

Merupakan Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Mengendalikan segmen Destinasi IKIMfm serta terlibat dalam suntingan artikel dan berita. Mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (Kejuruteraan Perisian) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Memilik Diploma Teknologi Maklumat (Pengaturcaraan) dari Politeknik Malaysia. Boleh dihubungi melalui email msyafiq@ikim.gov.my