Fakhrul UNIC patah kaki

LEMBAH KLANG, 4 Ogos – Anggota kumpulan nasyid UNIC, Fakhrul Radhi, 31, patah kaki kanan selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, Fakhrul yang menunggang sendirian hilang kawalan sebelum terlanggar pembahagi jalan dan terjatuh.

Fakhrul berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Subang selepas menjayakan satu program di Astro, Bukit Jalil, di sini.

€”Saya hilang kawalan menyebabkan terlanggar pembahagi jalan. Mungkin kerana jalan licin kerana waktu itu baru lepas hujan. Syukur kecederaan itu tidak terlalu parah. Selain itu, saya juga mengalami luka-luka di tangan dan kaki,” katanya yang dirawat di Pusat Perubatan Kelana Jaya.

Fakhrul berkata, akibat kejadian itu dia kini berbelah bahagi untuk meneruskan niat menunaikan haji pada 26 Ogos ini.

“€Ini pertama kali saya mengerjakan haji. Pastinya saya teruja namun apa yang berlaku membuatkan saya berbelah bahagi. Selain mengerjakan haji saya turut bertugas mengendalikan jemaah haji. Dengan keadaan kaki yang belum pulih pastinya menyukarkan,” katanya.

Fakhrul berkata, doktor sendiri tidak menyarankan dia meneruskan hasrat itu kerana ia mengambil masa kira-kira dua bulan untuk pulih.

Sumber Harian Metro Online

Kongsi artikel ini di: