Emosi Dalam Usrati (Bahagian 2)

KECERDASAN emosi (Emotional Quotion – EQ) sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan berumahtangga. Kecerdasan emosi  ditafsirkan sebagai satu kemampuan pada diri seseorang utk mengenali perasaan diri sendiri & orang lain. Ia juga bermaksud kemampuan seseorang untuk mengolah emosinya supaya memperolehi emosi yang baik kesannya kpd diri sendiri dan kepada orang lain. Dalam tafsiran lain, kecerdasan emosi merujuk kepada kemampuan sesorang untuk mencerap, memakai, memahami dan mengelola emosinya sendiri dan orang lain untuk mencapai tujuan membangunkan hubungan yang produktif &  meraih kecemerlangan.

Berikut adalah beberapa tafsiran yang diberikan oleh Ustazah Norhafizah Musa, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui program Usrati yang ke udara di IKIMfm, setiap Khamis jam 5.15 petang.

Di dalam kisah pertemuan Saidina Ali dan Sayidatina Fatimah dengan Rasulullah yang berhasrat untuk mendapatkan pembantu di dalam menguruskan rumahtangga mereka, Rasulullah telah menitipkan kepada mereka untuk mengamalkan tasbih, tahmid dan takbir yang menjadi penawar dan mampu mengurangkan kesulitan dan kepayahan yang dialami oleh puteri kesayangannya itu.

Amalan ucapan puji-pujian kepada Allah sebenarnya melibatkan elemen emosi  dan spiritual, yang merupakan pakej untuk menuju kebahagiaan jika diucapkan dengan ikhlas atas nikmat yang dikurniakan kepada kita. Banyakkanlah memuji Allah dalam keadaan kita benar-benar memuji, insyaallah ketika itu kita sedang membina  kecerdasan emosi  dengan panduan daripada Islam.

Ada lima komponen dasar dalam elemen pendidikan kecerdasan emosi di peringkat keluarga. Pertamanya ialah pengenalan diri atau self- awareness. Individu yang mengenali dirinya sendiri akan mengetahui tanggungjawabnya, tahu  kelebihan dan kekurangan diri,  mampu memberikan ketenangan emosi dan kebahagiaan kepada orang lain.

Di dalam sebuah hadis yang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda: “Doa seorang muslim untuk saudaranya tanpa pengetahuannya adalah mustajab, di atas kepalanya ada malaikat yang bertugas. Setiap kali ia mendoakan untuk kebaikan saudaranya, malaikat yang bertugas itu berkata amin dan bagimu sama seperti itu.” Hadis riwayat Muslim. Mereka yang memiliki kecerdasan emosi tidak mementingkan diri sendiri, malah apa sahaja kebaikan untuk dirinya juga diharapkan juga kebaikan tersebut untuk orang lain. Allah akan mengangkat nilai doa seperti itu sebagai doa yang mustajab.

Komponen dasar dalam elemen pendidikan kecerdasan emosi yang kedua ialah penguasaan diri   (self-regulation) sama ada suami, isteri, ibu bapa ataupun anak-anak dan mereka mempunyai disiplin diri serta mampu mematuhi peraturan. Di dalam rumahtangga wajar diwujudkan peraturan dan disiplin tertentu, misalnya ada waktu yang ditetapkan untuk menonton televisyen, makan di tempat yang sesuai, makan beralas dan lain-lain. Jika kita dapat mematuhi peraturan, ini merupakan petanda kita mampu untuk menguasai diri sendiri. Sebagai seorang muslim, sudah tentunya kita mahukan keluarga yang taat kepada Allah yang mampu menahan diri daripada nafsu  dan godaan syaitan.  Pada ketika inilah penguasaan diri berperanan untuk mengelakkan kita daripada terjebak ke dalam gejala yang tidak baik.  Dalam usaha menguasai diri melibatkan persediaan mental, spiritual dan sebagainya yang merupakan elemen yang terdapat di dalam diri seorang muslim yang baik kerana adanya ikatan yang mantap dengan Allah. Jika tiada ikatan dengan tauhid, segala yang dilakukan hanya sia-sia, tetapi  jika semua perkara dikaitkan dengan Allah menjadikan penguasaan diri individu lebih mudah dan selama itulah kita akan terus menuju kepada puncak kecemerlangan.

Komponen dasar ketiga dalam elemen pendidikan kecerdasan emosi ialah motivasi diri (self motivation) .  Adalah penting setiap orang ada motivasi diri, tiada kebergantungan dengan orang lain,  kerana ia merupakan kemampuan kita untuk membawa diri kepada perkara-perkara yang baik. Untuk  menghadapi cabaran yang besar di dalam rumahtangga mahu pun kehidupan, kita juga memerlukan penasihat peribadi supaya setiap tindakan yang kita lakukan lebih tepat, lebih baik dan yang paling penting Allah redha dengan setiap apa kita yang dilakukan. Di dalam surah Al-Fussilat ayat 30, Allah berfirman : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman yang berkata tuhan kami adalah Allah, dan dia istiqamah, maka Allah turunkan padanya malaikat-malaikat yang membisikkan padanya, jangan takut, jangan sedih, bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan oleh Allah dan Kami (Allah) adalah pelindung kepada kehidupan kamu di dunia dan di akhirat.”

Ayat ini memberi kesan yang hebat kepada emosi, seolah-olah Allah menawarkan penasihat kepada kita, jaminan daripada Allah kepada mereka yang beriman kepada-Nya. Mereka yang beristiqamah dan taat pada Allah akan menerima dorongan yang baik untuk menyelesaikan permasalahan di dalam kehidupan mahupun rumahtangga, lebih bersabar dalam menghadapi kesulitan, malah yang terbaik ialah individu tersebut mampu membalas kejahatan dengan kebaikan. Inilah yang dikatakan kurniaan daripada Allah, barangkali malaikat-malaikat yang membisikkan kepada kita kata-kata yang baik, beserta ilmu yang dipelajari, merupakan perkara-perkara yang sangat diperlukan di dalam membantu menjalani kehidupan yang lebih baik, maka jika dilihat di dalam perspektif Islam, jadilah kita umat yang benar-benar meyakini Allah, beriman dan patuh  kepada-Nya.

Di dalam satu hadis yang membawa maksud, Allah memberikan dunia ini kepada orang yang Allah cintai dan orang yang Allah tidak cintai.  Tetapi Allah hanya memberikan ketaatan kepada orang yang Allah cintai, tidak kepada orang yang Allah tidak cintai. Oleh itu istiqamah kita dengan ketaatan kepada Allah membawa kepada jaminan perlindungan hayat daripada-Nya dan akan dibekalkan dengan motivasi diri yang sangat tinggi. Di dalam pendidikan kecerdasan emosi wajar kita pastikan ahli keluarga istiqamah, tanamkan di dalam diri anak-anak keyakinan kepada Allah, maka insyaallah mereka yang menjaga titah perintah Allah akan dijaga oleh-Nya dengan sesempurna mungkin.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 14 Mei 2015
Kongsi artikel ini di: