Elemen al-Quran panduan hadapi perbezaan kaum dan agama – Agong

KUALA LUMPUR, 13 Mei 2018  – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V bertitah menyeru umat Islam menjadikan elemen seperti keadilan, toleransi, diplomasi dan persefahaman yang diajar al-Quran sebagai panduan dalam menghadapi perbezaan kaum dan agama.

Baginda bertitah ini kerana al-Quran membawa bersama prinsip asas dalam mengatur kehidupan manusia selari dengan keperluan fitrah manusia itu sendiri.

“Dalam konteks negara kita Malaysia, ideologi negara merupakan suatu bentuk identiti dan nilai bersama yang perlu dipegang oleh seluruh rakyat.

“Perkongsian rasa milik bersama ini amat penting nilainya dalam melahirkan semangat untuk bersama-sama memelihara kedaulatan, keamanan dan membangunkan ekonomi negara,” titah baginda.

Sultan Muhammad V bertitah demikian pada Majlis Tilawah Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-60 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.

Sultan Muhammad V mengajak seluruh umat Islam terus komited dan menetapkan hati untuk mengangkat dan menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan paling utama dalam kehidupan.

“Sesungguhnya rahmat dan hidayah ALLAH akan sentiasa mewarnai hidup kita andai kita terus mengangkat dan meninggikan kalimah ALLAH, insyaAllah,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah keamanan dan kesejahteraan negara yang dikecapi adalah hasil usaha semua rakyat dan ia menjadi tanggungjawab bersama untuk memeliharanya.

“Ancaman keselamatan sentiasa ada di mana-mana dan wujud tanpa disangka.Tanggungjawab dan perjuangan untuk memelihara keselamatan negara adalah sebahagian daripada ibadah dan amat dituntut dalam agama,” titah baginda.

Baginda bertitah lagi, kesejahteraan sesebuah negara bergantung kepada kualiti rakyatnya yang memiliki keimanan, keikhlasan, ketinggian peribadi serta kekuatan rohani dan jasmani.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my