Timbalan Perdana Menteri turut mengumumkan penambahan bajet untuk pakaian seragam pasukan sebanyak RM10 juta tahun ini berbanding RM5 juta tahun lalu.

Katanya, kenaikan elaun itu merupakan penghargaan dan memberikan semangat serta motivasi kepada semua anggota dan pegawai APM di seluruh negara.

“Jangan perlekehkan APM, mereka bukan setakat tangkap ular sawa. Apabila diberikan tugas, APM terus berada di garisan hadapan.

“APM adalah wira-wira yang tidak didendang, sebut sahaja di mana lokasi bencana, APM tetap ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Bersama Warga APM Bagan Datuk di Sekolah Menengah (SM) Sains Bagan Datuk di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua Pesuruhjaya APM, Mejar Jeneral (B) Datuk Azmy Yahya.

Timbalan Perdana Menteri turut mengarahkan permohonan dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menambahkan perjawatan tetap dan kenaikan gred perjawatan untuk pegawai APM.

Beliau berkata, elaun tersebut membuktikan keprihatinan dan kepedulian kerajaan kepada anggota dan pegawai di jabatan, agensi dan badan kesukarelawan.

Menurutnya, untuk agensi sedemikian tanpa perlu meminta, jika sesuatu keperluan itu munasabah maka kerajaan akan terus memberikan kelulusan.

“Maka kerajaan ini harus diberikan dokongan supaya dapat meneruskan kesinambungan ke­pemimpinan terbaik untuk negara.

“Jangan tersalah pilih kerana rekod perkhidmatan cemerlang kerajaan walaupun dua kali terhantuk dan terngadah, kita akui pernah melakukan kesilapan dan ada kelemahan sebab kita bukan sempurna tetapi kita akan perbaiki kelemahan itu demi rakyat,” katanya.

Sumber Utusan