Elak buat penilaian tidak adil terhadap kakitangan

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Semua pegawai kanan yang berkhidmat di bawah Kementerian Pertahanan disaran untuk mengkaji semula kriteria penilaian prestasi kakitangan mereka.

Ini kerana setiap penilaian tidak lagi harus diukur dengan jumlah kursus yang dihadiri, disiplin dalam kehadiran kerja serta tempoh dalam perkhidmatan sebaliknya sumbangan mereka dalam memberikan penyelesaian alternatif.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata keupayaan memberikan penyelesaian sesuatu tugasan lebih baik, kreatif dan kritis berbanding sistem atau amalan sedia ada.

“Mungkin terdapat kakitangan bawahan yang mampu memberikan dimensi global dan nilai tambah dalam tugas yang diamanahkan kepada mereka selain mampu memantapkan masyarakat melalui kerja-kerja sukarela.

“Selain itu, pemahaman terhadap fungsi dan perjalanan sistem kementerian yang melangkaui bidang tugas harus diambil kira dalam penilaian prestasi,” katanya di pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang, 2016, Kementerian Pertahanan.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd Radzi dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Katanya, penilaian tidak adil kepada kakitangan boleh berlaku dalam beberapa keadaan misalnya ketika pegawai kanan sedang marah atau memberikan penilaian prestasi hanya kerana tidak berpuas hati dengan sikap kakitangan yang berbeza pendirian.

“Situasi seperti ini adalah salah, tidak adil dan satu bentuk penganiayaan dan impaknya amat besar dan buruk sehingga boleh mematikan motivasi dan semangat kakitangan kita,” katanya.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my