Ehsan Dalam Usrati (Rumahtangga)

SERINGKALI di dalam rumahtangga, perkataan ‘sepatutnya’ dituturkan sama ada suami kepada isteri atau sebaliknya dan ibu bapa kepada anak-anak. Pernahkah kita mengatakan perkataan ‘sepatutnya’ kepada diri sendiri? Pernahkah kita fikirkan untuk memperbaiki diri sendiri di samping kita sibuk memikirkan untuk memperbaiki diri orang lain, walaupun ahli keluarga kita sendiri?

Dalam rancangan Usrati yang bersiaran hari Khamis jam 5.15 petang minggu lalu di IKIMfm, Ustazah Norhafizah Musa mengupas isu ehsan di dalam Rumahtangga, iaitu bagaimana kita seharusnya dahulu membuat kebaikan dengan seikhlas hati kepada semua orang dalam kita mengharapkan kebaikan orang kepada kita. Sebagai contoh, suami yang mahukan isterinya berlemah lembut terhadapnya dalam apa saja urusan, maka suami terlebih dahulu perlu berlemah lembut terhadap isterinya. Begitu juga sekiranya ibu bapa mahukan anak-anak melayan mereka dengan kebaikan, maka ibu bapa terlebih dahulu perlu melayan anak-anak dengan kebaikan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Allah merahmati orang tua yang menolong anaknya untuk berbakti kepadanya.” [Hadith Riwayat Ibnu Hibban].

Dalam mengharapkan rumahtangga yang bahagia, tidak dinafikan akan berlaku pertengkaran di dalam rumahtangga. Oleh itu, setiap ahli keluarga perlu memainkan peranan untuk menanamkan nilai ehsan di dalam diri masing-masing dan berusaha untuk melakukan kebaikan terlebih dahulu. Alangkah indah rumahtangga sekiranya setiap ahli berlumba-lumba untuk memberikan ehsan terlebih dahulu daripada yang lain. Ustazah Norhafizah Musa mengajak anak-anak yang selalunya menganggap ibu bapa tidak memberikan perhatian atau tidak mahu melayan kehendak mereka, berusaha untuk mendengar nasihat dan teguran daripada kedua ibu bapa terlebih dahulu bagi mendapat layanan yang sama daripada mereka.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Ehsan itu, hendaklah kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya, sekalipun kamu tidak dapat melihatNya, maka sesungguhNya Dia melihat mu.” [Hadith Riwayat Muslim]. Bagaimanakah untuk kita fahami nilai ehsan yang disebut di dalam hadith ini, yang boleh menjadikan kita insan yang soleh, khususnya di dalam rumahtangga. Fitrah manusia, apabila perbuatannya dilihat oleh orang lain, maka dia akan mengawal gerak gerinya, malah boleh menahan kesabaran untuk tidak marah. Oleh sebab itu, nilai ehsan yang bicarakan di dalam hadith ini yang jauh lebih luas maksudnya, bahawa Allah SWT bersama kita di mana sahaja kita berada dan sesungguhnya Dia Maha Melihat segala perbuatan kita. Maka dengan itu, kita dapat mendidik diri kita untuk menjadi hamba yang lebih baik.

Nilai ehsan perlu sentiasa diterapkan di dalam rumahtangga bagi memastikan setiap ahli sentiasa melakukan kebaikan walau di mana sahaja kerana setiap makhluk itu sentiasa berada di bawah pengawasan Allah SWT. Atas sebab ini jugalah seseorang itu berasa malu kepada Allah untuk melakukan perkara yang tidak baik dan zalim terhadap ahli keluarga dan orang sekeliling. Malah, Allah SWT menyuruh manusia untuk berbuat baik (ehsan) bukan sahaja kepada manusia, bahkan kepada makhluk yang lain juga, sepertimana maksud hadith, “Apabila kamu hendak menyembelih haiwan, maka sembelihlah dengan cara yang paling baik iaitu dengan menajamkan alat sembelihan dan hendaklah meletakkan haiwan dalam keadaan yang selesa.” [Hadis Riwayat Muslim].

Apabila kita diuji atau marah, kita akan memberi tindak balas terhadap perkara tersebut. Oleh sebab itu, kita perlu menyiapkan diri supaya merasakan Allah SWT sentiasa melihat perbuatan kita walau di mana sahaja kita berada. Persiapan ini perlu dilatih sejak dari awal, iaitu bagaimana untuk menahan diri daripada terus bertindak balas dengan apa yang berlaku. Setiap ujian yang datang adalah sebagai latihan untuk menahan diri daripada marah dan bertindak zalim. Muhasabah diri bahawa Allah SWT sedang melihat dengan apa yang telah berlaku dan berusaha memperbaiki ke arah kebaikan. Ujian yang dilalui merupakan satu latihan dan proses memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Ustazah Norhafizah Musa mengajak pendengar sentiasa istighfar dan berdoa kepada Allah SWT dalam setiap perkara yang dilakukan, terutamanya dalam menghadapi ujian. Antara doa yang Rasulullah s.a.w. anjurkan ialah “Ya Allah, aku berlindung dengan pengampunan-Mu dari seksa-Mu, aku berlindung dengan keredhaan-Mu dari kemurkaanMu, dan aku berlindung dengan azab-Mu dari rahmat-Mu. Ya Allah, aku tidak dapat memuji-Mu dengan baik meskipun aku sudah bersungguh-sungguh. Akan tetapi aku hanya dapat memuji-Mu sepertimana Engkau memuji diri-Mu sendiri.” Doa ini boleh diamalkan bagi memohon perlindungan Allah SWT daripada sifat-sifat yang mendatangkan kemurkaan dan azab Allah kepada kita.

Setiap manusia tidak akan lari daripada ujian Allah SWT sama ada ringan ataupun berat. Setiap ujian yang diterima adalah rahmat daripada Allah untuk menjadikan kita hamba yang lebih bertaqwa dan dekat dengan-Nya, sama ada Allah akan mengampunkan dosa-dosa kita ataupun mengangkat kedudukan kita di sisi-Nya. Ustazah Norhafizah Musa menganjurkan para pendengar yang menghadapi ujian atau masalah untuk belajar dan bermuhasabah dengan Surah Yusuf. Bagaimana kisah Nabi Yusuf yang Allah sifatkan sebagai sebaik-baik kisah, bermula daripada sifat dengki dan dendam abang-abangnya, dibuang ke dalam perigi, dijual sebagai hamba, difitnah, dipenjara sehinggalah pada akhirnya berjumpa kembali dengan keluarganya.

Firman Allah SWT di dalam Surah Yusuf, ayat 90 yang bermaksud, Sesungguhnya barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, yang bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak pernah mensia-siakan ganjaran kebaikan kepada orang-orang yang berbuat baik. Allah SWT telah mengangkat kedudukan Nabi Yusuf a.s. dengan ketaqwaan dan kesabaran baginda terhadap ujian yang telah diberikan. Janji Allah itu pasti kepada hamba-hambanya yang bertaqwa dan sabar dengan ujian. Bersyukurlah apabila Allah SWT telah memilih kita untuk menjadi orang yang berbuat kebaikan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Mac 2015
Kongsi artikel ini di:

Maslina Alias

Merupakan Pengurus Siaran Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Analisis, Inspirasiku, Motivasi Pagi, dan banyak lagi.