Dua Hari Selepas Ditembak, Pemimpin Islam Meninggal Dunia

PATTANI, 11 Jun – Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Aduldej Cheknae, yang parah ditembak penyerang tidak dikenali dua hari lepas, meninggal dunia

Setiausaha majlis itu, Solahuddin Yusuf, berkata beliau meninggal dunia di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pattani pada kira-kira 2.45 pagi (waktu tempatan).

Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Anak Bukit Lalo, di sini selepas solat jenazah di Masjid Pondok Lalo Wittaya, yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 penduduk dan pemimpin tempatan.

Aduldej juga merupakan ketua bahagian halal Majlis Agama Islam Pattani dan  pengarah Sekolah Agama Pondok Lalo Wittaya. Pada 9 Mac lepas, beliau dilantik sebagai Ketua Jawatankuasa Kecil Pengurusan Proses Rundingan Damai.

Aduldej atau nama Melayunya, Adul Abdul Rasheed, 55, parah ditembak dua lelaki bermotosikal itu semasa dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Pondok Lalo Wittaya.

Ketua Polis Pattani Mejar Jeneral Piyawat  Chalermsi berkata penyerang itu melepaskan tiga das tembakan yang terkena pipi dan kepala mangsa.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu.

Sumber UTUSAN MALAYSIA

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.