Dr Wan Azizah Ketuai Upacara Angkat Sumpah 13 Menteri Kabinet

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai barisan 13 anggota Kabinet mengangkat  sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara , Kuala Lumpur pada Isnin

Istiadat itu yang berlangsung di Singgahsana Kecil turut  disaksikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Istiadat berkenaan bermula pada  pukul 5.45 petang dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Turut mengangkat sumpah berkenaan ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri, Setiausaha  Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Presiden Parti Amanah  Negara (Amanah) Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Pendidikan, Anggota Parlimen Titiwangsa Rina Mohd Harun (Menteri Pembangunan Luar Bandar), Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Menteri Hal Ehwal Ekonomi), Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke (Menteri Pengangkutan).

Turut mengangkat sumpah ialah Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Naib Pengerusi DAP M. Kulasegaran (Menteri Tenaga Manusia), Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) dan Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.