Didik Keluarga Tanggungjawab Suami

ISLAM adalah ad Din yang serba lengkap dan menyeluruh dalam pelbagai lapangan hidup iaitu aspek aqidah , syariah dan akhlak . Rasulullah  SAW  telah menerima daripada Allah SWT  satu risalah lengkap tersebut melalui wahyu al Qur’an al Karim yang merupakan sumber rujukan utama Islam .Kemudian, Rasulullah SAW  diperintahkan untuk menyampaikannya kepada seluruh umat manusia di samping mengamalkan  ajaran-ajaran Islam yang terkandung di dalam al Quran itu. Islam juga adalah satu ad Din yang memiliki unsur kekuatannya yang tersendiri dengan keunikan aqidah , ibadat dan juga akhlaknya di samping bercirikan syumul kerana ianya bersifat terbuka kepada seluruh umat manusia

Menerusi perbincangan bertajuk  ‘Tunjuk Ajar, Cadangan dan Arahan ‘, Ustaz Muhammad Abdullah Al – Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran  pada Isnin minggu lepas di IKIMfm  jam 10.15 pagi, beliau berkata sebagai satu cara hidup (way of life), Islam meliputi keseluruhan aspek dan dimensi kehidupan insan. Oleh itu, menurut beliau Islam  itu adalah agama yang memberikan tunjuk ajar, cadangan dan arahan. Dalam konteks rumah tangga, lelaki ialah ketua keluarga sesuai dengan fitrah kejadiannya yang lebih gagah dan beberapa kelebihan lain berbanding kaum wanita. Tanggungjawab suami atau lelaki sebagai ketua (pemimpin) kepada golongan wanita telah ditegaskan  oleh Alah SWT melaui firmannya yang bermaksud : Lelaki ialah pemimpin bagi perempuan oleh kernan Allah melebihkan sebahagian mereka (lelaki)  atas sebahagian  yang lain (perempuan), dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (Surah An –Nisa, ayat 34) .Justeru, sebagai pemimpin di samping  dipertanggungjawabkan menjaga keselamatan , kebajikan dan menyediakan keperluan hidup  untuk isteri dan anak mereka, lelaki juga harus memberikan tunjuk ajar kepada isteri. Malah, Islam menetapkan setiap suami wajib menjalankan peranan dan tanggungjawabnya dengan sebaiknya. Dengan sebaiknya bermaksud berusaha sedaya upaya untuk menjalankan semua peranan dan tanggungjawab yang disenaraikan tanpa rasa lelah, jemu atau bosan.

Adalah menjadi kewajipan misalnya suami mengajarkan agama kepada isteri mereka sama ada secara langsung atau melalui perantaraan. Melalui perantaraan itu contohnya menghadiahkan buku-buku tentang Islam dan hukum-hukumnya serta berbincang bersama-sama, mengajak isterinya menghadiri ke majlis-majlis berbentuk ilmu yang disampaikan oleh pendakwah atau golongan ilmuwan. Sesungguhnya, perkahwinan itu diibaratkan seperti membina sebuah masjid. Justeru, suami dan isteri perlu  saling bekerjasama dan faham-memahami antara satu sama lain Dalam melayari bahtera rumahtangga yang dibina, suami harus memainkan peranan yang maksimum serta berani menonjolkan diri dalam mengemukakan cadangan dan mencari jalan penyelesaian berbanding isteri. Sebagai ketua keluarga, mereka sewajarnya perlu peka dengan keadaan persekitaran keluarga . InsyaAllah dengan mempratikkan sebegini taraf atau maruah seorang suami tidak akan tercalar sekiranya pasangan tersebut saling memahami, berterus terang dan sepakat.

Bagi memantapkan peranan dan kualiti sebagai ketua dalam sesebuah institusi keluaraga, suami juga perlu mempelajari meningkatkan kemahiran mereka dalam memberikan arahan kepada isteri mereka. Tanggungjawab seorang isteri yang paling utama ialah taat dan patuh kepada suaminya. Ketaatan seorang isteri kepada suami berada di tahap teratas, melebihi segala ketaatan kepada sesiapa pun juga termasuk ibu dan ayah kandung si isteri sendiri. Seorang isteri wajib taat kepada segala kata-kata dan arahan suami selagi kata-kata dan arahan tersebut tidak melanggar saranan dan arahan hukum syarak. Isteri juga wajib hormatkan suami, menjalankan kewajipan yang wajib bagi isteri walaupun suami anda tidak berjaya (setelah berusaha sedaya upayanya) menjalankan peranan dan tanggungjawab yang wajib baginya secara sepenuhnya.

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Begitu juga  apabila ia melibatkan peranan suami  ketika  memberi  tunjuk ajar, cadangan dan arahan kepada isteri. Menurut Ustaz Muhammmad, cara yang paling mudah ialah memperkukuhkan ilmu kekeluargaan yang boleh diperolehi daripada majlis –majlis ilmu, saluran Youtube mahupun bahan –bahan bacaan . Sebagi kesimpulannya, suami perlu belajar dan terus berusaha mengenali isteri. Seorang suami yang soleh dan bertanggungjawab akan menjadikan Islam sebagai asas dalam kehidupan untuk dirinya, isteri dan anak-anak  Dia akan memastikan semua ahli keluarganya sentiasa mentaati Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 18 Julai 2016
\"2016-07-18\"
Scroll to Top