Didik Hawa Nafsu Penentu Kebahagiaan di Dunia dan Akhirat

PETANDA kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat ialah apabila mereka begitu mudah mengikut hawa nafsu. Mereka akan berusaha memenuhi kehendak hawa nafsu dan menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperoleh apa dikehendaki.

Sesungguhnya jiwa dan diri manusia memerlukan masa yang panjang untuk membetulkan tabiat serta sikap selain mempunyai tenaga mencukupi bagi membendung hawa nafsu. untuk Sebagai contoh, menundukkan perasaan tamak haloba memerlukan perjuangan yang panjang. Dalam rancangan Pesona D’ Zahra yang disiarkan di IKIMfm pada Isnin lalu jam 10.00 pagi, Ustaz Muhammad Abdullah Al- Amin menyatakan bahawa seberat-berat musuh bagi manusia adalah nafsu dan ia  juga mampu  menjermuskan manusia ke arah   kejahatan  di dunia ini. Baginda menegaskan misalnya dalam sebuah hadis daripada Ibn \’Abbas R.A., \”Sejahat-jahat musuh kamu ialah nafsu kamu sendiri yang berada antara dua rusuk kamu.\” (Al-Baihaqi).  Hakikatnya nafsu ini perlu ada dalam diri kita. Tidak boleh tidak. Kena ada dalam diri manusia. Tetapi nafsu tersebut hendaklah dididik. Nafsu jika tidak dididik dan dijinakkan maka akan mendatangkan kerosakan kepada diri manusia. Kerosakan di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat. Maka wajiblah seseorang itu mendidik nafsu mereka agar terdididik. Dan dalam usaha mendidik nafsu, sewajarnyalah kita mengetahui akan tingkatan-tingkatan nafsu. Firman Allah SWT \”Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Apakah engkau akan menjadi pelindungnya?\” (Surah al-Furqan, ayat 43). Berasaskan gambaran  yang diberikan al-Quran ini, maka Nabi Muhammad  SAW memberikan gesaan demi gesaan agar umat Baginda berjuang menundukkan nafsu. Tidak dinafikan  usaha melawan hawa nafsu bukan sesuatu perkara yang amat mudah dilakukan . Ia menuntut seseorang individu itu  agar bermujahadah dan   tidak melengah-lengahkan dalam menanganinya.

Apabila dikatakan manusia itu  hebat dalam mendidik nafsunya, ia merujuk kepada  usaha yang berterusan  dalam menundukkan sesuatu perkara dalam  diri mereka sendiri iaitu menjaga dan mengawal segala nikmat anggota badan dan pancaindera yang dikurniakan oleh Allah SWT .

Nafsu  mempunyai  dua sifat iaitu membawa kebaikan (mahmudah) dan dalam masa yang juga mendorong melakukan keburukan (mazmumah). Kedua-dua jenis nafsu  tersebut saling menguasai diri seseorang. Jika mahmudah yang lebih kuat, maka kebaikan yang lebih banyak dilakukan.  Sedangkan jika mazmumah yang lebih berkuasa, maka terjelmalah keburukan dan durhaka lebih banyak dilakukan. Oleh  yang  demikian Muhammad telah  mengupas secara terperinci tentang dua jenis nafsu yang membawa manusia ke arah  keburukan.Pertama, nafsu yang  mengajak manusia untuk bersifat malas. Malas sebenarnya berpunca dari syaitan. Sungguh halus bisikan syaitan dalam melatih nafsu kita agar tunduk pada nafsu kita. Inilah yang membuatkan kita menjadi malas sama ada malas beribadat atau malas menunaikan tanggungjawab dan amanah yang dipikul. Sebagaimana yang diriwayatkan  dalam satu hadis yang bermaksud Syaitan mengikat atas belakang kepala seseorang kamu ketika ia tidur sebanyak tiga ikatan. Sambil syaitan berkata pada setiap ikatan, ‘malam masih panjang maka tidurlah’. Apabila seseorang kamu terjaga dari tidur, lalu menyebut nama Allah nescaya akan terlerai satu ikatan. Jika ia mengambil wuduk nescaya terlerai satu ikatan lagi dan sekiranya ia solat nescaya terlerailah semua ikatan. Maka ia bangun waktu pagi dalam keadaan rajin cergas serta baik hatinya. Jika ia tidak (melakukan begitu), nescaya ia bangun pagi dalam keadaan buruk jiwanya sambil rasa malas”.

Seterusnya adalah nafsu yang disifatkan sebagai berlebih-lebihan atau melampaui batas yang disyariatkan oleh Islam. Dalam konteks ini, salah satu contoh yang dapat dikaitkan ialah sifat boros. Islam mengajar umatnya bersederhana dalam berbelanja dan bukannya berlaku boros atau membazir . Boros dalam berbelanja sebenarnya lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat kepada kita. Firman ALLAH: \”Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.\” (Surah Al-Israa : 27). Justeru, dalam institusi rumahtangga , umpamanya suami perlu memainkan peranan dengan membimbing  dan menasihati isteri secara hikmah.

Dalam erti kata lain, perlu memikirkan kaedah yang sesuai  mengikut kemampuan . Elakkan daripada terus menghukum atau melakukan perubahan secara drastik .Sebaliknya dikendalikan secara   berperingkat-peringkat  agar pasangan mampu mengekang  hawa nafsu  secara berlebih-lebihan dalam urusan seharian. Kesimpulannya sentiasalah berwaspada dalam sebarang tindakan.  Jangan mudah terpengaruh dengan nafsu yang membawa kepada keburukan.  Kebaikan yang diperoleh hasil melakukan kejahatan tidak akan membawa kesenangan atau kebahagiaan hidup. Sebaliknya, biarpun kita tidak kaya dan tidak terkenal, jika perkara baik yang kita sering lakukan, maka itulah kebahagiaan hidup sebenar yang perlu dicari setiap orang.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 September 2017
\"\"
Scroll to Top