Dahsyatnya Surah Ar-Ruum

ALLAH SWT menciptakan alam dan segala kejadian yang berlaku di atas muka bumi ini sebagai bukti kekuasaan-Nya dan untuk kita mempelajari sesuatu daripadanya.

Perkongsian melalui segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm saban minggu pada setiap hari Isnin, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman beekongsi mengenai dahsyatnya Surah Ar-Ruum.Ustaz memulakan bicara dengan membcakan ayat surah Ar-Ruum, ayat 1 hingga 4 yang bermaksud :   Alif, Laam, Miim. Orang-orang Rom telah dikalahkan -. Di negeri yang dekat sekali; dan mereka sesudah kekalahannya itu akan mengalahkan lawannya – Dalam masa tidak sampai sepuluh tahun. Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -.

Surah ini juga banyak menceritakan tentang hujan. Menariknya di dalam surah ini bagaimana Allah SWT membuktikan kebesaran-Nya dengan menurunkan hujan. Ketika Allah SWT menerangkan tentang kejadian hujan secara huraian panjang, terselit di antara ayat-ayat ini tentang para rasul.

Para ulama memberitahu kita, apabila para rasul menyatakan sesuatu kepada kaum mereka,, ianya bukanlah sesuatu yang sia-sia dan direka-reka. Segala butir kata mereka adalah daripada Allah SWT yang datang dalam bentuk wahyu kepada mereka. Percakapan mereka ibarat air hujan yang turun membasahi tanah yang gersang dan kering kontang. Menariknya,, dengan kekuasaan Allah SWT, apabila kita menyampaikan sesuatu daripada kata-kata Allah SWT, ia boleh menghidupkan sesuatu yang mati. Apa yang perlu kita contohi dan pelajari daripada akhlak para nabi dalam situasi ini, kita perlu buka mulut dan menyatakan sesuatu. Sekiranya kita ingin turut serta bersama para nabi, maka contohilah apa yang mereka lakukan.

Sekiranya kita bijak menggunakan pelbagai ruang dalam menyeru dan menyebarkan ayat-ayat Allah SWT ini, maka kita juga mampu untuk menghidupkan hati-hati yang telah mati. Jangan sesekali kita meremehkan seruan kepada manusia menggunakan ayat al-Quran sekalipun di media sosial. Kemungkinan ada di antara mereka yang melihat dan membaca apa yang kita kongsikan, terbuka hati untuk mendapat dan menerima hidayah Allah SWT. Contohilah para nabi apabila mereka membuka mulut, ianya seperti membawa hujan.

Surah Ar-Ruum ini juga, Allah SWT hadirkan sebgaai motivasi buat Rasulullah SAW yang menjadi inspirasi kekuatan kita kerana dipenghujung ayat ini Allah SWT menyebut tentang sabar. Ayat 60 surah Ar-Ruum, Allah SWT berfirman bermaksud :   Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.

Surah ar-Ruum ini turun kepada Rasulullah SAW datang memberikan kegembiraan. Apabila dilihat, Allah SWT menyebut bahawa bangsa Romawi akan menang setelah mereka mengalami kekalahan, beritu itu menggembirakan Rasulullah SAW yang menyanggah dakwaan kaum Quraisy dan perkara itu juga menjadi inspirasi kepada kaum Muslimin bahawa janji Allah SWT itu benar. Berita ini uuga hadir sebagai pembakar semangat buat para sahabat yang akan berdepan dengan ujian peperangan beberapa bulan selepas itu, iaitu Perang Badar.  Allah SWT menjadikan kemenangan terhadap Romawi ini sebagai satu isyarat Allah SWT mampu menterbalikkan keadaan sesuatu kaum. Apabila Allah SWT mampu menterbalikkan keadaan Romawi daripada kalah kepada menang, maka tidak mustahil juga Allah SWT mampu menterbalikkan keadaan umat Islam daripada kekalahan dan pembantaian di Makkah kepada kemenangan yang besar di dalam peperangan Badar. Peperangan Badar berjaya membunuh kesemua pimpinan-pimpinan utama yang memerangi Rasulullah SAW selama 13 tahun di Makkah.

Apabila kita membaca surah Ar-Ruum ini, kisah Rumawi dibawakan sebagai satu permulaan sahaja terhadap tahap keimanan kita kepada Allah SWT. Segala yang diramalkan terjadi oleh Allah SWT telahpun berlaku dan ini membuktikan bahawa janji Allah SWT itu pasti.

Allah SWT menjadikan cerita benarnya janji Allah SWT kepada bangsa Rumawi ini sekadar muqaddimah sahaja kepada surah ini kerana surah Ar-Ruum tidak menceritakan tentang Rum. Sebaliknya, surah ini cerita tentang kehebatan penciptaan alam dan kemenangan orang-orang yang beriman di akhirat nanti. Allah SWT menceritakan tentang kejadian alam kerana apabila kita kagum dengan ramalan Allah SWT terhadap sesuatu yang bakal berlaku, maka Allah SWT memberitahu kita bahawa ayat-ayat Allah SWT ini bukan di dalam al-Quran semata-mata, ayat-ayat Allah SWT ini juga tersembunyi pada kejadian dan penciptaan alam. Ini saling berkait. Segala penciptaan yang ada di bumi ini, penjelasannya Allah SWT berikan di dalam Al-Quran.

Jadilah kita sebagai hamba Allah SWT yang benar-benar menghayati ayat-ayat-Nya dan bukan sekadar membaca.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 November 2016
\"2016-11-01\"
Scroll to Top