Cuaca panas: Negeri Perlu Kaji Sumber Air Bawah Tanah

KUALA LUMPUR, 25  FEB: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meminta semua negeri mengkaji dan menyediakan sumber air bawah tanah dan kolam takungan bagi menambah bekalan air mentah dalam mendepani fenomena cuaca panas bulan depan.

Pengerusi SPAN, Datuk Ismail Kasim berkata, kerajaan negeri juga disaran mengkaji untuk melaksanakan pembenihan awan dengan bantuan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET).

“SPAN meminta semua negeri melalui operator airnya memantau secara rapi kedudukan sumber di empangan dan sungai yang membekalkan sumber air mentah ke loji-loji rawatan air di negeri masing-masing.

“Ini kerana kerajaan negeri adalah bertanggung jawab untuk memastikan sumber air di negeri mereka mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MET sebelum ini melaporkan Malaysia terutama di kawasan utara pantai barat semenanjung diramal akan kurang menerima hujan sehingga penghujung Mac depan yang menyebabkan berlakunya cuaca panas dan kering.

Ismail berkata, dalam perkara ini, langkah diambil kerajaan Selangor dalam membuat persediaan berdepan musim kering dan panas ini boleh dicontohi.

Kerajaan Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) katanya, sudah bersiap sedia dengan kolam takungan air di sekitar Bestari Jaya dan mula mengepam air daripada kolam itu ke Sungai Selangor apabila paras sungai menjadi rendah untuk dirawat di loji rawatan air utama.

“Melalui cara itu, paras di Empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi dapat dikawal supaya tidak merosot dengan mendadak. Dalam masa sama, kerajaan Selangor juga telah memulakan usaha pembenihan awan,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga dinasihat supaya berhemah dalam menggunakan air dan tidak membazir supaya sumber air yang ada akan dapat bertahan lebih lama.

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my