Ciri-ciri Seorang Hamba

MAHA Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjid Aqsa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. (Surah al-Israq, ayat )

Menghayati ibrah daripada peristiwa Israk Mikraj yang sarat dengan pengajaran, pendidikan dan peringatan penting kepada setiap hanba untuk menambah amal kebaikan diri serta menjadi manusiawi yang taat kepada segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

Melalui rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.15 pagi di radio IKIMfm, penceramah yang juga panel rancangan tersebut iaitu Ustaz Meeftah Anuar menyatakan bahawa peristiwa Israk Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad SAW dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian.

Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah SWT kepada baginda untuk memperlihatkan tanda keagungan dan kekuasaan-Nya. Sungguhpun peristiwa hebat itu yang terjadi setahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dilihat mustahil dapat dijangkau oleh alam pemikiran manusia, namun selaku umat Islam, kita wajib percaya dan meyakini bahawa Israk Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad SAW adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali.

Sesungguhnya dengan izin dan kehendak Allah SWT, segalanya tidak mustahil berlaku kerana kekuasaan Allah mengatasi segala lojik akal manusia yang hanya kerdil sahaja. Bahkan melalui peristiwa ini, banyak pengajaran kerohanian yang didapat dihayati dan dipelajari terutama dalam soal kebersihan hati agar apabila seseorang manusia bertemu Allah SWT kelak dalam keadaan bersih dan suci.

Menurut Ustaz Meeftah, Allah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadiaan penciptaanNya. Bahkan sebagai manusia yang diciptakan dengan fitrah kebaikan, gelaran terbaik bagi seseorang manusia ialah hamba atau ‘abdun’.

“Abdun” atau hamba adalah nama yang amat tepat bagi manusia yang dijadikanNya untuk taat kepada segala perintah Allah SWT. Ini kerana hamba yang selalu merasa hina di sisi Allah SWT dan dalam masa yang sama sentiasa mempertingkatkan kemuliaan di sisi Allah SWT adalah manusia yang akan mendapat darjat tertinggi di sisi Allah SWT.

Seseorang hamba yang hatinya bersih akan merasa tenang melalui kehidupan ini. Walau apapun kondisi sama ada diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran, sentiasa dalam hati yang lapang dan tenang menempuh kesulitan dan kesusahan dapat kehidupan.

Manusia yang hatinya tenang dan lapang saat menerima ujian dinyatakan oleh Allah SWT Menerusi ayat al Quran Surah al- Fajr, ayat 27 hingga 30 Allah SWT berfirman yang bermaksud “Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): \”Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu). Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia. Dan masuklah ke dalam SyurgaKu.

Justeru walau apapun kesulitan yang dilalui, bagi mukmin yang hatinya bersih kerana sentiasa dibersihkan dengan amal ibadat kepada Allah, menjaga hubungan baik sesama manusia, beristigfar dan apa sahaja amalan yang mendapat keredhaan Allah pastinya akan memperolehi ketenangan hati walau seberat mana pun ujian yang dilalui.

Setiap manusia tidak akan terlepas dari menempuh pelbagai ujian kesulitan, tetapi terpulang kepada hati yang bagaimana yang dapat bersabar di atas ujian itu. Jika hati yang hanya bersandar kepada Allah, nescaya dapat melalui walau sebesar mana pun dugaan, tetapi jika yang lemah dan berserabut pasti tidak akan ada kekuatan dalam mendepani ujianNya.

Oleh itu, hamba Allah yang beriman kepadaNya hendaklah sentiasa mempersiapkan diri untuk menjadi hamba Allah yang taat dan bertaqwa. Tidak ada nama yang lebih rendah selain dari gelaran hamba. Jika kita tidak dapat melengkapkan diri dengan nama ‘hamba Allah’ seperti seolah-olah tidak ada tempat kita di sisi Allah SWT.

Justeru, sebagai hamba yang taat kepadanya hendaklah kita memperbanyakkan zikrullah memuji kebesaranNya dan seluruh kehidupan ini kita laksanakan selayaknya hanya untuk Allah SWT  sebagaimana Allah menyebut di dalam surah al-Furqan, ayat 47 yang bermaksud “Dan Dia lah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 Mei 2016
\"2016-05-25\"
Scroll to Top