Cinta Sejati Milik Allah SWT

NABI Sulaiman AS telah diberi pilihan diantara ilmu, kuasa dan harta. Namun Nabi Sulaiman as memilih untuk memperolehi ilmu berbanding yang keduanya, dan pilihan itu adalah yang paling tepat kerana dari pilihan ilmu itu, harta dan kuasa juga diperolehinya. Justeru Nabi Sulaiman AS memperolehi ketiga-tiganya.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi berkata dengan ilmu, kuasa dan harta yang dimiliki manusia akan terarah kepada perkara yang mendatangkan nilai kasih sayang sesama manusia bahkan orang yang berilmu akan sentiasa didorong oleh perbuatan yang menjurus kepada perkara-perkara yang diredhai Allah SWT.

Namun malangnya, menurut Ustaz Pahrol Mohd. Juoi dalam rancangan Islam itu Indah di IKIMfm pada hari Rabu jam 10.00 pagi, manusia hari ini lebih ghairah kepada harta dan pangkat daripada mengejar dan mengisi diri dengan ilmu yang bermanfaat. Hakikatnya ilmu itulah yang akan membimbing manusia untuk mencapai kemuncak hidup tertinggi iaitu ketaqwaan kepada Allah SWT.

Dalam membicarakan tentang tajuk berkaitan dengan pengorbanan dan kaitannya dengan cinta terhadap Allah SWT, setiap mukmin diingatkan bahawa benamkan kecintaan yang tinggi terhadap ilmu, nescaya akan membuka relung rezki yang lebih besar. Pencarian ilmu yang lebih luas akan membawa kecintaan dan kasih sayang Allah SWT yang lebih luas.

Ibrah dari kisah Nabi Ismail yang rela dikorbankan oleh ayahandanya Nabi Ibrahim mempunyai pengertian yang amat besar dalam istilah pengorbanan yang benar-benar tinggi nilainya di sisi Allah. Nabi Ibrahim bukan hanya sekadar mahu melaksanakan perintah Allah atas nama sebuah ketaatan tetapi lebih dari itu sanggup mengorbankan perasaan cinta terhadap anak demi Allah SWT. Pengorbanan yang dilaksanakan itu bukan pengorbanan berbentuk material dan fizikal, tetapi ia adalah pengorbanan tentang perasaan.

Dalam hidup ini, tidak ada yang lebih pedih selain pengorbanan yang melibatkan perasaan. Mengorbankan perasaan itu adalah lebih tinggi kesakitan dan keperitannya dari perkara-perkara lain. Sebab perasaan itu berada di hati kita, perasaan yang paling penting untuk dikorbankan bagi mendapat redha Allah adalah perasaan cinta. Ini kerana cinta itu bagi sesetengah orang yang meletakkannya pada tahap yang tinggi mempunyai nilai yang amat besar.

Dengan cinta manusia dapat membina keyakinan dan motivasi dalam hidup. Dengan cinta manusia dapat meraih kejayaan dan kecemerlangan dan dengan cinta juga manusia merasa hidup ini hampir sempurna. Bahkan bagi sesetengah manusia cinta itu adalah segala-galanya sehinggakan tidak mudah untuk ditukarganti. Justeru, cinta itulah yang perlu dikorbankan kerana cinta kepada material itu perlu ‘disembelih’ untuk mendapat cinta Allah SWT.

Pengajaran yang terbesar dari peristiwa pengorbanan Nabi Ismail ini adalah cinta itu perlu dikorbankan. Di mana ada cinta di situ ada pengorbanan. Setiap perkara yang ada nilai cinta atas dasar keduniaan perlu dikorbankan kerana cinta itulah yang membawa manusia menjadi alpa kepada perintah Allah.

Apa yang diajarkan melalui peristiwa Nabi Ismail dan Nabi Ibrahim adalah untuk diteladani dan dijadikan pengajaran yang bernilai bagi manusia untuk meraih kasih Allah. Sesungguhnya manusia tidak akan benar-benar dapat meraih cinta Allah jika masih belum mampu berkorban hal-hal yang berkaitan duniawi dan bersifat material. Cinta yang besar terhadap dunia jika dikorbankan untuk meraih cinta Allah pasti akan dianugerahkan cinta yang lebih besar lagi. Justeru, jangan kecewa seandainya kehilangan cinta kecil di dunia ini kerana cinta Allah adalah cinta sejati yang kekal abadi.

Allah sangat ‘cemburu’ tentang soal hati. Allah cemburu jika cinta itu tidak diletakkan kerana dan kepadaNya. Dalam memahami tentang cinta, setiap mukmin perlu sedar bahawa cinta manusia itu adalah alat, manakala cinta Allah adalah matlamat. Cinta kepada manusia adalah jalan dan cinta kepada Allah adalah tujuan. Jangan sesekali kita silap menilai cinta, barangkali cinta kita berada pada telapak si miskin yang menderita. Mungkin cinta kita berada pada si anak yatim yang memerlukan kasih sayang, barangkali juga cinta kita ada pada pada orang yang tertindas dan dizalimi.

Sesungguhnya Allah meletakkan cinta kepada manusia-manusia ini sebagai jalan untuk mendapat cinta Allah SWT. Cinta kepada ibadah dan amalan itu adalah jalan bagi mencapai tujuan iaitu cinta Allah yang hakiki dan kekal abadi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 September 2017
\"\"
Scroll to Top