China cadang sekatan Korea Utara dilonggarkan

BEIJING, 12 Jun – China mencadangkan supaya sekatan dilonggarkan ke atas Pyongyang selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berikrar untuk berusaha membebaskan semenanjung Korea dari senjata nuklear sepenuhnya.

China menandatangani sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang semakin luas ke atas jirannya selepas Pyongyang berulang-kali menjalankan ujian peluru berpandu dan nuklear.

Bagaimanapun, ia juga menyarankan supaya rundingan mencari penyelesaian politik turut dilakukan selepas sekatan dikenakan.

China adalah penyokong kuat Korea Utara dari segi ekonomi dan diplomatik meskipun tidak setuju dengan tindakan Pyongyang yang dianggap mencabar keselamatan serantau.

Jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang, menekankan Beijing sentiasa akur kepada semua resolusi PBB ke atas Korea Utara.

 Beijing mempunyai kepentingan strategik dalam soal Korea Utara dan diketahui risau akan tercemar jika berlaku konflik nuklear di semenanjung Korea selain kemungkinan kebanjiran pelarian ke wilayahnya.

Sumber REUTERS

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.