Cabaran Tangani Rasuah Masa Kini Lebih Sukar Berbanding 1981

PUTRAJAYA, 10 Julai – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui cabaran menangani rasuah dan salah guna kuasa pada masa kini lebih mencabar berbanding ketika beliau pertama kali dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 1981.

Dr Mahathir berkata ketika mengambil alih tampuk pemerintahan negara 37 tahun dahulu, jentera kerajaan pada ketika itu dilihat hampir bersih daripada gejala rasuah, tidak seperti masa kini.

Beliau mendakwa tindakan seorang bekas Perdana Menteri ‘mempromosikan’ rasuah melalui kenyataan ‘cash is king’ atau ‘wang itu raja” mengakibatkan habis  jentera kerajaan terlibat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan perutusan pada Taklimat Governans, Integriti dan Antirasuah di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini, yang dihadiri hampir 160 anggota Parlimen Pakatan Harapan (PH) serta anggota pentadbiran kerajaan termasuk jemaah menteri.

Taklimat tertutup yang julung kali diadakan itu dianjurkan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) bertujuan memberi pendedahan tentang pelbagai aspek berkaitan rasuah dan usaha pencegahan buat anggota Parlimen dan anggota pentadbiran kerajaan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lepas.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.