Buli & Remaja

PADA Jun 2017, Malaysia digemparkan dengan kematian seorang penuntut Universiti Pertahanan Awam Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman yang dikatakan telah di seksa menggunakan seterika wap sehingga 80 peratus badan mangsa melecur. Tidak reda lagi dengan kejadian sadis tersebut, seorang lagi pelajar dikenali dengan Nhaveen, berusia 18 tahun dibuli hingga menyebabkan kematian.

Kes-kes ini jelas menunjukkan gejala tidak sihat semakin merebak dalam masyarakat. Malaysia seolah-olah satu negeri yang tidak selamat kerana wujudnya golongan pembuli.

Buli terbahagi kepada dua iaitu buli fizikal dan buli mental. Buli fizikal adalah apabila ia melibatkan kecederaan secara zahir dan dapat dilihat seperti ditumbuk dan dipukul manakala bagi buli mental adalah perbuatan yang boleh menjejaskan emosi dan psikologi seseorang seperti mengherdik dan menghina.

Menurut statistik, kebanyakkan pembuli adalah berumur sekitar 15 hingga 23 tahun. Golongan muda yang diharapkan mampu mempertahankan negara, namun kini menjadi samseng di negeri sendiri. Inikah yang kita mahukan? Berdiam diri tanpa tindakan?

Di usia muda menjadi pembuli hingga meragut nyawa orang lain. Perkara sebegini perlu dibanteras dari akar umbi agar tidak menjadi satu norma dalam masyarakat kita. Walaubagaimanapun statistik Polis Diraja Malaysia menunjukkan terdapat penurunan kes buli di sekolah, dan angka ini membuktikan sekolah masih merupakan zon yang masih selamat bagi pelajar sekolah. Namun begitu,  tidak bermakna, masyarakat boleh lepas tangan dan berpeluk tubuh.

Gejala ini harus dibanteras di tahap mikro sebelum merebak ke tahap makro yang mengkibatkan lebih banyak kematian dan kecederaan mental. Pelbagai usaha boleh dilakukan antaranya melakukan kempen yang berterusan. Kempen anti buli hendaklah dipergiat terutamanya di sekolah-sekolah. Poster-poster mengenai bahana buli perlu ditampal dan dipamerkan di tempat-tempat awam agar masyarakat turut cakna dengan gejala buli ini.

Selain itu, kerjasama antara orang awam dan pihak berkuasa sangat penting bagi mengekang gejala buli. Orang awam haruslah segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat gejala buli yang berlaku disekeliling mereka. Jangan pula kita menjadi golongan yang menyembunyikan gejala ini. Mereka yang terlibat harus menerima hukuman yang setimpal.

Terakhir adalah penerapan anti buli di rumah. Antara salah satu faktor berlaku buli adalah keganasan domestik. Di buktikan dalam Social Learning Theory yang diasaskan oleh Albert Bandura, menyatakan bahawa suatu perilaku agresif dipelajari dengan meniru seseorang atau dinamakan proses “modeling”.  Anak-anak meniru apa yang dilakukan di rumah dan dipraktikannya di luar. Ini jelas menunjukkan keluarga merupakan institusi pendidikan yang pertama bagi anak-anak. Semuanya bermula di rumah. Oleh itu, ibu bapa hendaklah memainkan peranan yang penting dalam menyemai sifat kasih sayang sesama insan agar gejala buli ini dapat di atasi dari terus berlaku.

Jadilah kita warga yang prihatin dan bersama Malaysia menuju negara sifar buli!

Kongsi artikel ini di: