Bukti Kerasulan Nabi Muhammad SAW

SETIAP kali melangkah masuk ke bulan Rabiulawal, setiap kali itu jugalah kita sering bertanya pada diri tentang adakah benar rasa kecintaan kita kepada Baginda Nabi SAW. Apabila kita mengaku yang kita cinta akan Rasulullah SAW, pasti kita akan mengikut setiap apa yang disuruh oleh Baginda SAW. Sebelum wujud rasa cinta, kita juga benar-benar harus percaya akan kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Pertemuan menerusi segmen Ibrah di IKIMfm minggu lalu, Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman membuka segmen tersebut dengan membacakan ayat surah Yaasin. Ayat 1-3 yang bermaksud : Yaa, Siin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh, Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,.

Kita seringkali mendengar dan melihat pelbagai majlis ilmu yang menyentuh mengenai kerasulan Nabi Muhammad SAW. Namun, pernahkah kita menilai selama ini, adakah kita mengetahui atau mempercayai. Kalau benar kita mempercayai Nabi Muhammad SAW itu sebagai pesuruh Allah SWT, adakah kita benar-benar memahami setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW selama ini. Jangan biar mulut kata percaya, tetapi hati sebenarnya hanya mengetahui bahawa Nabi Muhammad SAW itu rasul tetapi tidak cuba untuk mempercayai.

Untuk kita mempercayai, kita perlu kemukakan bukti. Menurut tafsir Tafhim al-Quran oleh Abu al-A’ala al-Maududi r.h. Beliau mengemukakan beberapa bukti yang menunjukkan Nabi Muhammad SAW itu dipilih sebagai Rasul oleh Allah SWT.

Pertamanya, umur 40 sebagai bukti. Orang yang dari awal bercita-cita menjadi Nabi, pasti tidak akan menunggu sehingga umur 40 tahun. Pada umur 40 tahun itu membuktikan bahawa Rasulullah SAW sendiri todak mengetahui bahawa Baginda akan menjadi Rasul. Nabi SAW tidak pernah meramalkan Baginda akan menjadi rasul. Ini membuktikan bahawa kerasulan ini bukanlah pilihan Nabi SAW bahkan ianya piliham Allah SWT yang punya hikmah tersendiri.

Bukti yang kedua, pada usia 35 tahun, Baginda Rasulullah SAW telah dikenali oleh hampir keseluruhan kaum arab Quraisy. Mereka mengenali Baginda dengan gelaran al-Amin. Bahkan, sebut sahaja siapa musuh-musuh Baginda seperti Abu Jahal tetap mengenali Baginda dan menggelarnya dengan al-Amin dan orang yang berpekerti bagus. Kita pasti sedia maklum tentang peristiwa pertelingkahan yang melibatkan perletakkan Hajarul Aswad. Apabila keputusan telah dibuat oleh Baginda Rasulullah SAW tentang perletakan ini, maka tiada seorang pun daripada mereka membantah.

Ketiga, 20 tahun Baginda duduk dalam dunia perniagaan dan selama 20 tahun itu, perniagaannya berjalan dengan lancar dan berjaya. Kemudian, Baginda pula berkahwin dengan orang yang sangat bijak dalam dunia perniagaan. Lalu, Baginda dan Saidatina Khadijah memilih kerja ynag boleh menyebabkan perniagaan Baginda rugi dan pengaruhnya juga semakin merosot. Juga pilihan sebagai Rasul ini boleh menyebabkan Baginda akan dibenci. Maka, dapat kita lihat, ini bukanlah satu pilihan popular yang dibuat. Ini membuktikan pilihan Baginda Rasul ini adalah kerana perintah daripada Allah SWT dan bukanlah kehendak peribadi.

Bukti kerasulan Baginda SAW yang keempat merujuk kepada al-Maududi r.h. ialah Baginda SAW tidak pernah muncul di mana-mana majlis keraian berbentuk hiburan yang dianjurkan oleh arab Quraisy pada ketika itu. Bentuk hiburan orang Quraisy pada ketika itu ialah syair-syair yang disampaikan. Seseorang yang menyertai keraian ini perlulah pandai mengarang syair dan membacakan syair-syair itu. Baginda tidak pernah sekali-kali menyertai mana-mana program syair. Tetapi apabila Baginda berdakwah, Baginda dituduh menyampaikan syair. Ini suatu tuduhan yang tidak berasas.

Bukti kelima,  mari kita perhatikan setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Setiap apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW tidak pernah sama sekali berbentuk peribadi. Apabila Nabi SAW memulakan dakwahnya, maka tiada apa yang dituturkan kecuali hanya bercerita tentang alam dan penciptaannya. Baginda menyeru agar tidak berlaku zalim dan memerdekakan hamba. Ini bukanlah agenda peribadi dan perkara inilah yang ditunggu oleh semua orang agar sistem kasta yang menzalimi manusia dapat dihapuskan. Nabi SAW tidak menjadi seperti ahli-ahli kitab yang sanggup mengubah ayat-ayat Allah SWT demi mengekalkan pengaruh dan demi kepentingan peribadi. Nabi SAW tidak menjadikan penerimaan manusia sebagai kayu ukur.

Yang keenam, bukti Baginda sebagai seorang rasul ialah apabila seseorang meneliti apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW, pasti akan mengatakan ini bukanlah ucapan seorang manusia. Kepada orang yang benar-benar berfikir, pasti alan tertanya-tanya siapakah yang mengajarkan kepada Muhammad SAW tentang huruf-huruf. Intipati dan isi kandungan penyampaian Nabi SAW juga terlalu tinggi.

Beberapa bukti ini sudah cukup untuk membenarkan kepercayaan kita kepada kerasulan Nabi Muhammad SAW. Persoalan yang tinggal, adakah perakuan kepercayaan yang kita lakukan dengan lidah dan yakini dengan hati kita, kita dapat buktikan dengan amalan dan perbuatan. Tepuk dada tanya iman.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 13 Disember 2016

2016-12-13
Kongsi artikel ini di:

Haji Faiz Hj. Othman

Merupakan penyampai di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Kini aktif dengan kerja-kerja berkaitan Sosial Media untuk IKIMfm.