BlackRock rombak perniagaan ekuiti

NEW YORK, 29 Mac – BlackRock Inc akan merombak perniagaan ekuiti diuruskannya secara aktif, mengurangkan pekerjaan dan yuran serta lebih bergantung kepada komputer untuk memilih saham.

Pengurus dana terbesar dunia itu berdepan pengeluaran dana saham yang aktif dan rombakan itu adalah percubaan terbesar bagi memacu pemulihan.

Mei lalu, BlackRock melantik Mark Wiseman, ketua dana pencen awam terbesar Kanada, untuk menyelia operasi memilih saham selepas beliau merombak operasi dana itu untuk menggunakan perlombongan data dan pendekatan teknologi lain untuk melabur.

BlackRock melaksanakan penjenamaan semula atau menyesuaikan strategi pelaburan terhadap kira-kira 11 peratus daripada perniagaan dana saham aktif bernilai AS$275 bilion.

Ia meletakkan penekanan lebih besar terhadap pendekatan pelaburan yang dipacu teknologi dalam set perubahan besar untuk perniagaan sejak penggabungan transformasi bagi membolehkannya menguruskan lebih AS$5 trilion dalam aset.

Antara perubahan dilakukan BlackRock ialah membuang tujuh pengurus portfolio fundamental tradisional daripada tugasan, menurut sumber rapat.

Lebih 40 pekerja diberhentikan, termasuk beberapa pengurus portfolio, menurut sumber lain.

Syarikat itu juga akan mengurangkan yuran beberapa produk yang sedang dijenamakan semula sebagai siri kelebihan dana aktif yang lebih murah.

Pengurangan yuran yang dirancang terhadap dana kumpulan dan produk pendapatan akan mengurangkan pendapatan BlackRock kira-kira AS$30 juta dan syarikat itu akan mengambil caj AS$25 juta pada suku ini bagi mencerminkan pemberhentian serta perbelanjaan pampasan lain.

Syarikat itu berkata, ia juga akan dapat mengembangkan pelaburan dalam teknik perlombongan data yang disifatkannya boleh meningkatkan prestasi pelaburan.

Pengurus saham aktif di Amerika Syarikat (AS) terjejas dengan pengeluaran pada tahun kebelakangan ini apabila pelabur beralih kepada produk yang mempunyai kos lebih rendah.

Rombakan ekuiti BlackRock juga menjemput perbandingan dengan satu lagi firma aset utama lain, Pacific Investment Management Co (Pimco).

Pada 2015, Ketua Ekuiti Pimco meninggalkan firma itu dan Newport Beach, firma Calif mencairkan dua strategi ekuitinya selepas menghabiskan beberapa tahun untuk cuba mempelbagaikan asas pelabur termasuk mereka yang membeli produk ekuiti.

Saham BlackRock meningkat 1.50 peratus kepada AS$380.63 sesaham semalam sebelum pengumuman itu.

Sumber Reuters

Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my