Bertaqwa dalam Islam

ALLAH SWT menyebut dalam al-Quran surah ali Imran ayat 102 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benarnya takwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kalian mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” Ayat ini adalah seruan Allah SWT kepada umat Islam supaya meningkatkan amal ibadah kepadaNya sehingga tahap yang tertinggi dan mendalam kerana kecintaan kepada seruanNya akan menjadikan seseorang mukmin berada pada jalan ketaatan yang sebenar-benarnya.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah, Ustaz Firdaus Subhi menerangkan akan besarnya makna taqwa bagi seluruh umat Islam kerana kefahaman tentang makna taqwa itu sendiri akan mendorong umat Islam untuk memperbaiki ibadah, meningkatkan amalan kepadaNya dan mengukuhkan keimanan dengan amal soleh terhadap Allah SWT.

Dalam ayat yang lain seperti surah al-Anfal ayat 29 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, jika kalian bertakwa kepada Allah, Dia akan memberikan kepadamu furqan (pembeda).” Ertinya langit taqwa ini akan melindungi manusia dari debu-debu kejahatan yang akan mengundang seseorang mukmin terjerumus ke lembah kejahatan. Malah, mukmin yang beriman kepada Allah, yakin akan agamanya serta taat akan segala perintahNya, DIA yang maha pemurah akan mengurniakan naungan rahmatNya kepada mereka yang taat.

Melalui al-Quran, Allah SWT mengajar dan mendidik umatnya akan susunan kehidupan dengan penuh tertib dan cukup indah. Pelbagai urusan dan hal-hal kehidupan seperti akidah, muamalah, akhlak dan ibadah diterangkan dengan tersusun bertujuan membentuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna. Dalam waktu yang sama bagi melahirkan golongan insan yang tinggi tingkatan ihsan dan taqwa di sisi Allah SWT.

Kehadiran bulan Ramadan yang bakal tiba merupakan peluang bagi seseorang mukmin untuk terus meningkatkan amalan kebaikan kepada Allah dengan ganjaran pahala yang berganda-ganda.

Sifat taqwa ini mestilah dibina di atas landasan syariat yang suci yang mana ia diasaskan oleh solat, puasa, zakat dan haji. Manakala mencapai tahap ketaqwaan itu adalah dari dalaman iaitu dengan nilai kerohanian yang tinggi terhadap Allah SWT. Ertinya di sini, setiap ibadah yang berbentuk fizikal haruslah disertai dengan kehadiran jiwa yang ikhlas, hati yang tulus dan perasaan yang murni kerana nilaian Allah bukan hanya pada kuantiti semata-mata tetapi kualiti yang dilaksanakan.

Dengan kehadiran bulan Ramadan yang bakal menjelma ini, ia adalah satu peluang hebat bagi umat Islam untuk memperbaharui ibadah mereka. Bagi seseorang mukmin yang sentiasa berusaha meraih kebaikan Allah SWT, hendaklah sentiasa bermuhasabah diri, memperbaharui niat dan selalu mencari jalan untuk membuat sebanyak mungkin pahala kerana bulan Ramadan yang mulia ini adalah kurniaan anugerah daripada Allah buat hambanya untuk meningkatkan amal ibadah dan seterusnya membina ketaqwaan kepadaNya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Solat lima waktu, dari Jumaat ke Jumaat dan puasa dari Ramadan ke Ramadan ialah menghapuskan dosa diantara masing-masing selagi dijauhinya dosa-dosa besar.” (Hadits Riwayat Muslim)

Hadis ini menyebut tentang puasa dan beribadah di bulan Ramadan akan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Bahkan banyak juga disebut di dalam al-Quran orang-orang yang bertaqwa kepadaNya, Allah SWT akan menganugerahkan kurniaan rezeki, memberi jalan keluar kepada hambaNya yang berada dalam kesulitan dan meninggikan darjat mereka yang sentiasa berusaha meraih nilai taqwa.

Natijah dari taqwa ini akan menjadikan seseorang mukmin dikurniakan cahaya kebaikan dan cahaya itulah yang akan memandu mereka untuk mencapai sebuah kehidupan yang baik di dunia dan tempat yang mulia di akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid ayat 28 yang bermaksud “ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan berimanlah kepada Rasul-Nya, nescaya Allah memberikan dua bahagian daripada rahmat-Nya kepadamu, dan menjadikan untukmu cahaya yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan dan Dia mengampuni kamu”.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Mei 2018

Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my