Berkeinginan Menjadi Baik

SESUNGGUHNYA keinginan untuk menjadi baik adalah suatu yang normal dan fitrah bagi setiap orang. Bahkan menurut para ahli sufi apabila timbul keinginan untuk menjadi orang yang baik, bererti kita telah mendapat jemputan Allah SWT untuk menuju ke suatu daerah kebaikan.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menekankan tentang pentingnya mempunyai keinginan untuk menjadi baik kerana dengan kebaikan inilah yang akan menjuruskan seseorang mukmin itu mengerjakan amal soleh di sisi Allah SWT.

Bermula dari rasa keinginan akan munculnya rangsangan atau dorongan untuk kita bergerak dan bertindak. Sebetulnya sesuatu yang positif dan lazim bagi seseorang mukmin memiliki rasa ingin atau mahu. Tetapi yang menjadi persoalan adalah apabila gelojak keinginan yang tidak diawasi dengan iman menyebabkan keinginan itu berlandaskan kepada hawa nafsu yang merosakkan.

Seseorang mukmin yang diperbudakkan oleh keinginan yang memuncak tanpa ada batasan akan mudah tunduk kepada keinginan hawa nafsu yang menjadikannya alpa untuk membezakan akan perkara baik dan buruk, halal dan haram serta dibenarkan atau sebaliknya.

Oleh itu, seseorang yang diperhambakan oleh keinginan sehingga menjerumuskan diri ke lembah dosa tidak akan mampu untuk membezakan perkara yang buruk dan baik. Sebab itulah, mereka yang mempunyai keinginan hawa nafsu yang memuncak akan merasa cepat kecewa, mudah putus asa, suka menyalahkan dan bertindak di luar kewarasan apabila keinginannya tidak dipenuhi atau tidak berjaya dilakukan.

Manakala apabila mendapat hajat atau keinginan yang diharapkan kita pula menjadi manusia yang mudah lupa diri, bongkak dan sombong dengan anugerah nikmat yang Allah SWT sehingga membuatkan kita mudah menafikan hak orang lain dalam rezeki yang diperolehi.

Dalam lembaran Islam, orang yang hebat akan memiliki keinginan yang tinggi, suci dan murni. Keinginan menuju jalan Islam dengan tujuan untuk membina kehebatan agama Islam menjadikan para sahabat adalah insan mulia yang luar biasa.

Dikisahkan dalam suatu peristiwa ketika Saidina Umar al-Khattab RA bersama sahabat yang lain berkumpul dan berbicara tentang keinginan mereka jika mendapat kekayaan harta benda yang Allah kurniakan. Kesemua mereka mahukan setiap kekayaan dan anugerah harta benda itu dihabiskan ke jalan Islam yang suci.

Kehebatan sahabat Rasulullah SAW tidak dapat dipertikaikan lagi. Kesetiaan, kasih sayang dan kesucian hati mereka amat cukup luar biasa. Diriwayatkan dalam sebuah kisah tentang sahabat baginda yang keinginan mereka tidak langsung tentang kesenangan dunia tetapi tumpuan keinginan mereka adalah menanam ketaatan yang tinggi kepada Allah SWT dan menjadi penghuni syurga bersama baginda Rasulullah SAW.

Begitu juga kisah tentang seorang sahabat iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang barangkali memberi inspirasi dan pengajaran kepada kita hari ini untuk membina keinginan yang tinggi iaitu menjadi hamba yang soleh, umat yang menuruti sunnah baginda Rasulullah SAW dan akhirnya menjadi penghuni syurga Firdaus yang kekal abadi.

Abu Ayyub dikurniakan Allah SWT dengan usia yang panjang, dalam usia yang lanjut itu beliau tetap memiliki semangat jihat dan cintakan agama yang tinggi. Sehinggakan pada saat Abu Ayyub mendengar sabda baginda Rasulullah SAW bahawa “Suatu hari nanti akan ditawan Kota Konstatinopel. Sesiapa yang berjaya menawan kota itu, dia adalah sebaik-baik tentera dan sebaik-baik pemimpin”. Mendengar akan itu, Abu Ayyub dengan semangat juang yang tinggi belayar ke kota Konstatinopel bagi berjihat membina empayar Islam dan menegakkan agama Allah.

Pada usia yang telah mencecah 80-an, dengan izin Allah SWT, Abu Ayyub meninggal dunia. Sungguhpun demikian, Abu Ayyub sebagai figura hebat Islam meninggalkan wasiat kepada para mujahid agar mayatnya ditanam di hadapan Kota Konstatinopel supaya dia boleh mendengar bunyi tapak kaki kuda dan suara para mujahid yang berjihat menegakkan agama Allah.

Kuasa keinginan yang digarap oleh Abu Ayyub menjadi pedoman kepada kita hari ini, bahawa sesiapapun kita ia bukan syarat untuk membina keinginan yang tinggi kerana Allah SWT. Sesungguhnya jika kita mempunyai keinginan demi agama Allah, Allah SWT akan memperkenankan walaupun dalam bentuk yang berbeza.

Hakikatnya Seseorang mukmin juga perlu faham akan hakikat kehidupan. Setiap keinginan yang kita dambakan bukan bererti semuanya adalah baik untuk kita. Ini kerana segala pergerakan, kemahuan dan keperluan kita, ia adalah dibawah kekuasaan Allah SWT. Tidak semua perkara yang kita mahu kita akan dapat, kerana Allah SWT yang maha mengetahui segalanya akan memberikan kepada hambanya apa yang kita perlu, tetapi bukan apa yang kita mahu.

Justeru, bukan semua keinginan kita akan dimakbulkan Allah SWT, ini kerana Allah yang maha kaya akan memakbulkan permintaan hambanya tepat pada waktunya. Perkara ini dijelaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)

Justeru, sebagai hamba yang mengharapkan kasih sayang dan belas ehsan Allah SWT, hendaklah kita selalu merendahkan keinginan yang disebabkan dorongan hawa nafsu, sebaliknya selalu memperhebatkan keinginan berbuat kebaikan dan ibadat yang akan mendekatkan diri kita dengan Allah SWT, seterusnya menjadi penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 20 April 2016
\"2016-04-20\"
Scroll to Top