Berkahwinlah Untuk ke Syurga

SEBAGAI seorang mukmin, seharusnya mereka merasa gembira apabila menghampiri detik kematian, namun sebaliknya apa yang berlaku kini, ramai di kalangan manusia menyesal apabila mengetahui hidup bakal berakhir. Lebih malang apabila penyesalan tersebut dibawa sehingga ke alam kubur dan merayu kepada Allah SWT agar diberi peluang untuk dihidupkan kembali untuk melakukan amalan salih yang ditinggalkan ketika mereka hidup dahulu. Oleh itu manusia sering diingatkan agar sentiasa memohon ditunjukkan jalan yang lurus bersama-sama golongan nabi, siddiqin dan para syuhada untuk menuju syurga Allah. Malah rebut peluang yang disediakan Allah untuk berkeluarga yang bakal membina jalan ke syurga melalui proses perkahwinan.

Islam mengajar umatnya yang meniti usia dewasa agar berkahwin, bukan hanya untuk menundukkan nafsu semata-mata tetapi ia merupakan sunnah yang baik, dibentuk oleh Rasulullah SAW. Adalah menjadi satu kesilapan dan dosa kepada manusia yang tidak mahu berkahwin melainkan sekiranya mereka menghadapi masalah kesihatan dan sebagainya. Sekiranya berkemampuan, mempunyai kekuatan dan sudah tiba masa yang sesuai untuk berkahwin, maka disarankan agar dihijrahkan kehidupan daripada hidup berseorangan kepada hidup berumahtangga dan mempunyai matlamat untuk memiliki zuriat yang ramai. Dengan berlakunya ijab qabul bererti mereka sudah membina generasi untuk ke syurga. Elakkan daripada beranggapan bahawa apabila berumahtangga akan menyebabkan mereka menanggung bebanan, sedangkan perkahwinan itu merupakan satu fitrah kepada manusia.

Al-Fadhil Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani menerusi slot Mau’izati di radio IKIMfm yang bersiaran pada hari Khamis 5.15 petang turut berkongsi pesanan Rasulullah SAW kepada para pemuda dan pemudi, “Kalau sekiranya kalian sudah cukup kemampuan di dalam hidup, maka berumahtanggalah. Kerana dengannya akan menundukkan pandangan kamu, terjaga kemaluanmu. Dan sekiranya kamu tidak mampu untuk berumahtangga disunatkan dan dituntut agar kamu berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu menjadi pelindung kepada hidupmu.” Allah SWT menciptakan lelaki dan wanita dan mempunyai tarikan di antara satu sama lain sebagai pasangan hidup. Keengganan untuk berkahwin merupakan perbuatan yang melawan fitrah, malah tarikan dan perhubungan terhadap jantina yang sama juga dilarang sama sekali di dalam agama Islam.

Adalah tidak wajar untuk mencari alasan tidak berumahtangga sekiranya para pemuda sudah tiba masanya untuk berkahwin kerana ia akan turut memudaratkan orang lain, terutamanya golongan pemudi yang menunggu lamaran daripada mereka. Akhirnya ia akan masalah ini akan berlanjutan disebabkan akhlak pemuda yang sombong dan menganggap dirinya sudah sempurna tanpa perkahwinan. Selain itu melalui perkahwinan, akan terjaga kemaslahatan di kalangan masyarakat dan terbina dengan cara yang terbaik. Tanpa keluarga dan anak-anak, mereka akan terdorong untuk melakukan perkara lain bagi mengisi kekosongan hidup seperti memelihara haiwan dan sebagainya, tetapi mempunyai masa yang terbatas untuk bermasyarakat. Perkahwinan akan melahirkan zuriat-zuriat salih dan salihah, malah Rasulullah sangat berbangga dan Bagindalah yang paling gembira kerana memiliki umat yang ramai pada Hari Akhirat kelak.

Allah menjadikan manusia mempunyai pasangan masing-masing dan akan lahirlah anak-anak, cucu, cicit dan keturunan hasil daripada perkahwinan tersebut. Sesungguhnya dengan berumahtangga akan memudahkan manusia untuk menuju kepada syurga Allah dan dapat memelihara keturunan yang berterusan. Dengan perkahwinan jugalah ia dapat mengatasi masalah sosial di dalam masyarakat seperti penularan penyakit AIDS, penyakit kelamin dan lain-lain akibat perbuatan zina dan jenayah yang merosakkan manusia. Mereka yang berkeluarga akan beroleh doa daripada anak-anak yang salih terutamanya apabila kembali menghadap Allah. Tetapi sebaliknya harta benda dan kemewahan di dunia tidak akan menjamin kebahagiaan di dunia dan akhirat tanpa kehadiran keluarga di dalam kehidupan manusia.

Melalui perkahwinan jugalah dapat mendatangkan ketenteraman hati dan jiwa manusia. Di antara kebesaran Allah SWT ialah menciptakan isteri kepada golongan pemuda tanpa diduga oleh mereka sendiri kerana sudah tertulis dan ditakdirkan siapakah pasangan mereka. Diciptakan Allah perasaan kasih-sayang dan belas kasihan terhadap pasangan hidup masing-masing kecuali perasaan benci yang dihasut oleh syaitan untuk memecah-belahkan manusia. Malah melalui penciptaan inilah mengajak manusia agar berfikir dan tidak mensia-siakan masa muda mereka. Selain itu Allah akan menambah rezeki kepada mereka yang berumahtangga berbanding mereka yang hidup berseorangan kerana setiap daripada ahli keluarga dikurniakan rezeki masing-masing.

Sudah tertulis segala rezeki bagi setiap manusia di langit atau Arasy-Nya, dan segala apa yang telah dijanjikan Allah kepada diri mereka. Oleh yang demikian, dengan bertambahnya anak dan ahli keluarga, akan menambahkan rezeki di dalam keluarga tersebut. Asas utama untuk membina rumahtangga ialah agama, maka persiapkanlah diri dengan bekalan ilmu agama yang baik, sesungguhnya wanita yang salihah layak mempunyai pasangan di kalangan lelaki yang salih. Malah ia juga mendorong kelahiran zuriat dan keturunan yang baik. Allah tidak memandang rupa paras dan kemewahan pasangan tetapi memandang hati yang baik dan amalan agama masing-masing untuk membina rumahtangga yang sejahtera dan dirahmati.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 1 Mac 2018
Scroll to Top