Bahana Sihir Terhadap Manusia

USTAZ Muhamad Abdullah al Amin dalam rancangan Pesona D\’Zahra yang bersiaran di IKIMfm pada Isnin minggu lalu jam 10.15 pagi berkata sihir adalah istilah yang merujuk kepada amalan jahat manusia yang dibantu atau disokong oleh jin-jin yang terdiri daripada iblis dan syaitan, yang dilakukan secara tersembunyi dan rahsia. Sihir boleh dipelajari dengan menuntut.  Kesan sihir ini tidak boleh dibuktikan dengan akal, teknologi sains bagaimana hal demikian boleh berlaku. Namun hakikat kerosakan terhadap jasad itu akan kelihatan. Bagi manusia yang lemah imannya, mereka mudah terdorong menggunakan khidmat ahli sihir atau bomoh sihir bagi menyakiti atau memusnahkan sesiapa yang mereka benci dan musuhi.

Bagi yang terkena bahana sihir, mereka terpaksa menanggung pelbagai sakit dan penderitaan, fizikal, mental atau rohani yang secara umumnya tidak dapat dikesan oleh perubatan moden yang canggih. Sihir membabitkan peranan langsung makhluk halus iaitu iblis, syaitan dan jin yang berperanan menyakitkan manusia apabila makhluk ini dipuja, disembah bagaikan \’Tuhan yang disembah\’ sehingga orang yang mengamalkan sihir dan yang memberi imbuhan kepada pengamal sihir, terjatuh ke lembah dosa besar syirik dan kufur kepada Allah. Visi dan misi terbesar iblis apabila dilaknat Allah iaitu janjinya untuk menyesatkan seramai mungkin anak Adam sehingga mereka menjadi penghuni neraka bersamanya di akhirat. Sihir memberi penderitaan kepada mangsa sama ada fizikal atau jiwa atau gangguan lain yang kebiasaannya tidak dapat difikirkan logiknya bagaimana kejadian itu boleh berlaku. Pelbagai gejala atau penderitaan dicetuskan sihir. Secara umumnya, ia sukar dikesan perubatan moden kerana punca penyakit amat terselindung. Misalnya, seseorang menderita sakit fizikal, namun setelah melakukan diagnosis, doktor mengesahkan  tiada  kerosakan saraf atau sebagainya pada diri pesakit. Begitu juga apabila  isteri tiba-tiba benci kepada suaminya tanpa sebarang perkelahian atau perselisihan pendapat antara mereka, tetapi kerana hasutan daripada iblis dan jin yang digunakan oleh orang yang berniat jahat terhadap pasangan tersebut.

Oleh kerana besarnya bahana sihir, Allah secara khusus memerintahkan orang Islam memohon perlindungan kepada Allah daripada bahana sihir iaitu melalui firman-Nya bermaksud: \”…dan daripada kejahatan tukang sihir wanita yang menghembus pada simpulan\”. (Surah al-Falaq ayat 4) Menurut Ustaz Muhamad lagi, mempelajari sihir,mengajarnya kepada orang ramai dan mengamalkannya adalah haram dan termasuk daripada dosa besar. Sebagai imbuhannya, ahli sihir melakukan kerja tertentu yang jelas menyalahi hukum termasuk menyembah jin itu (amalan kufur). Sihir juga boleh menyebabkan fikiran dan akal seseorang terganggu secara tiba-tiba (gangguan mental) seperti menjadi murung dan mengelamun yang berpanjangan, pelupa, hilang tumpuan terhadap pengurusan diri sehingga menjadi kusut masai bagaikan orang tidak waras. Sihir juga boleh menyebabkan seseorang benci untuk bergaul dan suka duduk berseorangan mengelamun. Sihir boleh menyebabkan seseorang mendengar pelbagai bisikan ganjil (tanpa kehadiran sesiapa) sehingga dirinya terganggu. Begitu juga sihir boleh menyebabkan seseorang menderita sakit di bahagian tertentu badan atau seluruh badan atau menyebabkan anggota tertentu badannya menjadi lumpuh tanpa sebab yang jelas. Antara sihir yang kerap ditemui dalam masyarakat kita ialah sihir pelalau (mengunci nafsu seseorang sehingga hilang keinginan untuk berkahwin), santau dan pukau.

Menerusi perbincangan beliau mengenai ‘ Tanda-Tanda Gangguan” , Ustaz Muhamad sempat juga memberikan tujuh faktor yang dipengaruhi oleh sihir Syaitan antaranya ialah (1) Marah yang keterlaluan, (2) Haus yang keterlaluan, (3) Banyak menguap (zahir dan batin), (4) Muntah-muntah, (5) Keluar darah dari hidung, (6) bisikan-bisikan tidak wajar dan (7) Banyak tidur.

Kesimpulannya, bahana yang dicetuskan sihir terlalu besar dan merugikan di akhirat nanti. Sebagai umat Islam, kita disaran agar  menjauhi ahli sihir,. Sebaliknya sentiasa bersandar dan meletakkan harapan sepenuhnya kepada Allah SWT  yang Maha Penyayang dalam merungkaikan apa jua masalah yang membelenggu diri. Oleh itu, Allah memerintahkan umat Islam berlindung daripada kejahatan sihir dan jika sihir tidak mempunyai kesan mudarat sebenar, tentu Allah SWT tidak memerintahkan kita memohon perlindungan daripada bahana sihir.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 16 Mei 2016
\"2016-05-16\"
Scroll to Top