Bagaimana pentingnya hijrah dalam kehidupan kita

BIARLAH kita menjadi air yang mengalir yang dapat memberi manfaat kepada hidupan-hidupan lain dan janganlah jadi seperti air yang bertakung yang hanya berkeladak dan kotor. Allah SWT seringkali menggambarkan di dalam syurga, bagaimana air-airnya mengalir di sana sini. Begitulah gambaran kehidupan kita agar sentiasa mengalir dan bergerak dari satu prestasi ke satu prestasi yang lebih baik.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman melalui segmen Ibrah yang bersiaran di IKIMfm,  berkongsi kisah mengenai perjalanan kehidupan kita yang perlu melalui proses hijrah. Ustaz menceritakan bagaimana Allah SWT umpamakan hidup kita ini seperti fenomena peralihan malam. Allah SWT menyebut di dalam surah al-Insyiqaq ayat 16 – 19 yang bermaksud : Maka Aku bersumpah, demi mega; Dan malam serta segala yang dihimpunkannya; Dan bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama: Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan – menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya).

Apabila Allah SWT bersumpah dengan perjalanan malam ini, maka Allah SWT hadirkan kesimpulan daripada kejadian ini. Jika beginilah sifat malam, bermula daripada gelap namun belum gelap yang sepenuhnya. Kemudian, menjadi gelap gelita yang sepenuhnya dan di akhirnya muncul cahaya daripada purnama yang terang. Beginilah perjalanan kehidupan kita. Adakalanya kita rasa kita dalam kegelapan, tanpa cahaya dan tempat bergantung, namun kita perlu sabar dan positif serta terus bergerak kerana pasti akan ada cahaya yang menanti kita.

Kita perlu terus melakukan perubahan dan pergerakan dalam kehidupan kita. Kita tidak perlu untuk melakukan suatu perubahan yang besar dalam siri hijrah kita. Kita hanya perlu sentiasa memperbaharui taubat kita. Orang yang sentiasa memperbaharui taubatnya adalah orang yang menginsafi dirinya yang berada di dalam kegelapan yang mahu keluar daripada gelap gelita itu.

Orang yang berhijrah ialah orang yang sentiasa menginsafi dirinya kerana itulah hakikat kita manusia, sering melakukan kesilapan. Namun, sebaik-baik manusia ialah setelah mereka melakukan kesilapan maka mereka bersegera menginsafi kesilapan dan betaubat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : Hijrah tidak pernah terputus sampai pintu taubat tertutup dan pintu taubat tidak tertutup hingga matahari terbit dari arah barat. (HR. Abu Dawud).

Rasulullah SAW memudahkan pemahaman kita kepada hijrah dengan erti taubat. Hijrah kita dengan memperbaiki diri kita yang tidak baik ke arah yang lebih baik. Teruskan bertaubat selagi matahari tidak terbit dari barat. Berubahlah kita sentiasa agar kita tidak dikalahkan oleh rasa selesa yang merosakkan kita. Kita patut belajar daripada kesilapan ayahanda kita Nabi Adam AS dan Hawa yang pernah melakukan kesilapan. Ia bukan suatu perkara sia-sia yang ditakdirkan oleh Allah SWT. Ia mengajar kita bahawa kita tidak terlepas daripada dosa dan yang paling penting ialah kita segera bertaubat atas segala dosa kita.

Syurga dan neraka disediakan kepada para pendosa. Neraka ternyata buat para pendosa begitu juga syurga yang hakikatnya buat para pendosa tetapi yang membezakannya ialah bagaimana neraka disediakan buat pendosa yang ketika hayatnya tidak pernah beristighfar dan bertaubat atas segala dosanya. Manakala syurga buat mereka yang segera bertaubat setelah mengakui atas segala kesilapan dan dosa yang telah dilakukan dan menginsafi agar tidak kembali kepada dosa yang lalu.

Mari kita terjemahkan semangat hijrah ini daripada satu peringkat yang kita pernah senang kepada satu tahap yang lebih susah. Maknanya kita meninggalkan zon selesa kita kepada zon yang lebih mencabar agar kita tidak manja dan kita sentiasa menyerlahkan setiap potensi bakat yang dianugerahkan kepada kita. Kita memang akan terus berada pada tahap kita selagi tidak datang ujian Allah SWT.

Maka, ujian Allah SWT sebagai asbab untuk kita menyerlahkan potensi kita untuk berubah dan berada pada tahap yang lebih baik. Semoga ujian juga menjadikan kita lebih dekat kepada-Nya dan menjadikan kita hamba yang sentiasa menginsafi segala dosa kesilapan kita.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Oktober 2016
\"2016-10-11\"
Scroll to Top