ASEAN perlu persiapan lengkap ke arah ekonomi digital – Najib

SUNNYLANDS (California), 16 Februari – Komuniti ASEAN memerlukan persiapan lengkap, termasuk terus mempromosi pendidikan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) ketika rantau ini bergerak menuju ekonomi digital, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, pendidikan STEM penting bagi memenuhi keperluan kerja untuk ekonomi seumpama itu dan ia harus diperkenalkan di peringkat sekolah.

Katanya, pelaksanaan e-perdagangan masih rendah, misalnya lima peratus di Malaysia berbanding 30 peratus di Amerika Syarikat (AS) dan 20 peratus di China.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia pada akhir hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin AS-ASEAN, di sini.

Najib berkata, ASEAN mempunyai peluang untuk melonjakkan pembangunan risikan rasmi kognitif, yang menggunakan teknologi dalam meningkatkan sistem penyampaiannya, misalnya, dalam penjagaan kesihatan dan pengurusan bencana alam.

Maklum balas mengenai perkara itu disampaikan oleh tiga ketua teknologi maklumat (IT) gergasi ketika mereka mengadakan pertemuan dengan tokoh ASEAN pada sidang kemuncak itu, di sini.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft, Satya Nadella; CEO IBM, Ginni Rometty dan CEO Cisco, Chuck Robbins.

Najib berkata, pemimpin ASEAN berbincang dengan mereka dan mendapati ASEAN perlu memajukan satu set kemahiran ke arah mencapai matlamat itu.

Rantau berkenaan juga perlu memajukan teknologi pemula supaya syarikat boleh menggunakan teknologi itu tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.

Bagaimanapun, pakar berkenaan mengingatkan pembuangan pekerja boleh berlaku akibat perubahan teknologi dan oleh itu, Najib berkata, latihan semula kemahiran pekerja perlu dijalankan.

Ketika perbincangan pemimpin ASEAN dengan Presiden AS, Barack Obama, Najib menarik perhatian bahawa ASEAN perlu mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada pembangunan Lembah Silicon, daerah pembangunan IT terkemuka dunia.

“Kita perlu memajukan modal perniagaan di samping rangsangan daripada tokoh akademik seperti mereka dari Stanford University yang merangsangkan pembangunan IT di Lembah Silicon,” katanya.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Unit Berita dan Hal Ehwal Semasa (UBHES)

Unit Berita & Hal Ehwal Semasa IKIMfm http://www.ikimfm.my