AS Senarai Hitam Syarikat Penerbangan Iran

WASHINGTON, 10 Julai – Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan ke atas ejen jualan yang berpangkalan di Malaysia kerana mempunyai kaitan dengan syarikat penerbangan Iran Mahan Air, yang disenarai hitam Washington.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan berhubung perkara itu, Perbendaharaan AS menyatakan, Mahan Travel and Tourism dikenakan tindakan kerana kegiatannya membolehkan operasi antarabangsa Mahan Air berjalan, terutama membabitkan “melaksanakan transaksi kewangan bagi pihak penerbangan itu”.

Jelas kenyataan itu lagi, Mahan Air ditubuhkan pada Oktober 2011 bertujuan memberi sokongan kepada Pasukan Pengawal Revolusi Islam Al-Quds.

Menerusi langkah terbaru jabatan itu, semua aset yang berada di AS akan dibekukan dan secara dasarnya melarang rakyatnya dari menjalankan perniagaan dengan syarikat tersebut, lapor agensi berita Xinhua.

Washington memperhebatkan sekatan terhadap entiti dan individu Iran berikutan keputusan Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada Mei lepas, yang turut menerima kritikan oleh masyarakat antarabangsa.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.