Arab Saudi Lancar Platform Digital, Membolehkan Seluruh Dunia Mengikuti Perjalanan Ibadah Haji

KUALA LUMPUR, 29 Ogos 2017 — Kementerian Kebudayaan dan Maklumat (MOCI) Arab Saudi telah melancarkan dua platform digital yang membolehkan para jemaah di Mekah, termasuklah orang awam di seluruh dunia, pihak media tempatan dan antarabangsa untuk mendapatkan maklumat dan mengikuti perkembangan terkini ibadah haji pada tahun ini.

SaudiWelcomesTheWorld.org merupakan platform bagi menyampaikan mesej kasih sayang dan perpaduan kepada umat Islam di seluruh dunia, walau dimana jua mereka berada.  Portal ini berkongsi pelbagai kisah menarik jemaah haji daripada pelbagai latar belakang bangsa dan budaya, dalam menjalankan rukun Islam kelima ini. Platform ini merupakan satu platform terbuka untuk jemaah berkongsi perjalanan ibadah haji mereka, secara tidak langsung membolehkan dunia mempelajari dan mengetahui nilai-nilai murni  agama Islam.

Portal ini melengkapi dan memberi nilai tambah kepada portal media, www.Hajj2017.org yang memberikan maklumat, perkembangan dan berita-berita terkini tentang Haji 2017. Menerusi portal ini, para wartawan boleh mengakses dan memuat turun bahan-bahan media seperti gambar, infografik dan juga siaran akhbar. Portal ini juga membolehkan pengguna mengakses semua saluran rasmi yang menyiarkan siaran langsung pelaksanaan ibadah haji.

Ibadah haji merupakan salah satu daripada lima rukun Islam yang memerlukan umat Islam ke Mekah bagi melaksanakannya.  Setiap orang Islam dewasa wajib melaksanakan ibadah ini sekali seumur hidup sekiranya mereka mempunyai kemampuan fizikal dan kewangan.

Lebih daripada 1.5 juta jemaah haji telah tiba di Arab Saudi dan kira-kira 500,000 lagi jemaah dijangka tiba untuk melaksanakan ibadah Haji yang akan bermula pada 30 Ogos dan berakhir pada 4 September ini.

 

 

Kongsi artikel ini di: