Apa Khabar Pesakit

MENZIARAHI orang sakit adalah satu perbuatan yang amat mulia, bahkan ajaran Islam sendiri meletakkan keutamaan bagi setiap mukmin untuk menziarahi mereka yang berada dalam keadaan yang tidak bernasib baik. Malah melawat orang sakit dan mendoakan mereka adalah sangat digalakkan dalam Islam.

Menerusi rancangan Islam itu Indah, Ustaz Hasnil Abu Bakar berkata menziarahi orang sakit adalah sunat yang menjanjikan ganjaran pahala. Ini kerana menziarah orang sakit bukan sahaja satu amalan yang baik malah dalam masa yang sama dapat mengeratkan lagi hubungan ukhuwah sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Barang siapa menziarahi saudara sesama agama yang sakit, maka (perjalanannya ke rumah orang sakit itu seakan-akan) ia berjalan sambil memetik buah-buahan syurga sehingga ia duduk (yakni duduk di rumah pesakit), apabila ia duduk, maka rahmat yang banyak diturunkan kepadanya. Apabila ia menziarahi di pagi hari, maka 70 ribu malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Apabila ia menziarahi pada waktu petang, 70 ribu malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke pagi”.

Hadis tersebut mengajar dan menjelaskan tentang besarnya ganjaran pahala serta kebaikan menziarahi pesakit. Malah, keberkatan dan kerahmatan Allah SWT memayungi mereka yang selalu ada waktu dan berusaha bertanya khabar serta mengetuk pintu mukmin lain saat ditimpa ujian sakit. Kemuliaan itu Allah ganjarkan bukan hanya dapat menghuni syurga Allah taala di akhirat kelak bahkan mendapat kerahmatan doa 70 ribu para malaikat di dunia ini lagi.

Dalam menunaikan tuntutan melawat pesakit, seseoraang mukmin juga perlu tahu akan adab-adab dalam berziarah. Kehadiran berziarah orang yang tidak sihat bukan hanya dengan buah tangan sebagai budaya melawat orang sakit, tetapi dengan kemuliaan akhlak dan kata-kata yang baik serta manis supaya kehadiran itu sedikit sebanyak dapat memberi semangat dan motivasi kepada mereka yang sakit.

Begitu juga dalam setiap kunjungan, antara lain yang sangat wajar dilakukan dan dituntut dalam agama adalah mengiringi pesakit dengan doa-doa serta zikrullah yang bertujuan memohon dan meminta kepada Allah agar memberikan kesembuhan kepada si sakit. Selain itu memberikan nasihat-nasihat yang diperlukan oleh pesakit seperti peringatan tentang solat dan sentiasa mengingati Allah dalam apa juga keadaan apatah lagi saat diuji dengan kesakitan.

Kurangkan berbicara perkara-perkara remeh yang boleh menimbulkan kerisauan kepada mereka yang berada di dalam kesakitan. Begitu juga perbuatan-perbuatan yang tidak mendatangkan keselesaan kepada orang yang sakit. Ini kerana adab dan tatasusila yang sewajarnya memberi pahala boleh mendatangkan kesan yang negatif seandainya tidak dipelihara dengan adab yang sebaiknya.

Selain itu menziarah orang yang sakit boleh mendidik jiwa dan mendatangkan keinsafan bagi mereka yang sihat. Sakit itu adalah kehendak Allah SWT yang boleh diberikan kepada sesiapa sahaja mengikut kemahuanNya. Justeru, dalam bertanya khabar kepada mereka yang sakit, wajar juga diambil pedoman dan ingatan bahawa selain ujian sakit sebagai kafarah kepada dosa, ianya adalah bentuk peringatan untuk memelihara kesihatan dengan sebaik yang mungkin.

Dari Ibnu Abbas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda sebelum datangnya masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi). 

Oleh itu, manfaatkanlah anugerah kesihatan dengan sebaik mungkin untuk beribadat kepada Allah SWT dan dalam masa yang sama sentiasa bertanya khabar kepada mereka yang diuji dengan kesakitan kerana sebaik-baik insan adalah orang yang sentiasa mengambil berat akan kesusahan orang lain dan memelihara silaturahim.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 25 April 2018

Kongsi artikel ini di:

Nik Hasnah Ismail

Bertugas sebagai Pengurus Program Radio. Telah berkhidmat di IKIMfm selama 16 tahun. Anak kelahiran Kuala Besut Terengganu ini memiliki kelulusan Sarjana Muda Pengajian Media Universiti Malaya dan Sarjana dalam Pengajian Peradaban juga dari universiti yang sama. Sering diundang untuk mengendalikan bengkel media di IPTA. Beliau turut menulis dalam akhbar tempatan dan amat meminati bidang penulisan dan motivasi. Beliau boleh dihubungi melalui emel nikhasnah@ikimfm.my