Anugerah Nasyid 2017 Beri Pengiktirafan Kepada Penggiat Industri

KUALA LUMPUR, 15 Disember: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dengan kerjasama Al-Hijrah Media Corporation (TV Alhijrah) menganjurkan program Anugerah Nasyid 2017 (AN17) bagi memberi pengiktirafan kepada penggiat industri.

Mereka yang diiktiraf adalah dari kalangan pencipta lagu, penulis lirik, penyanyi dan lain-lain pihak yang terlibat dalam penghasilan karya mereka, kata IKIM dalam kenyataan.

Katanya, lagu-lagu yang dipertandingkan tidak hanya menampilkan genre nasyid semata-mata tetapi turut melibatkan lagu yang bertemakan ketuhanan dan kemanusiaan, secara amnya.

AN17 bermula dari Segmen Carta Nasyid IKIMfm yang bersiaran setiap Sabtu jam 10 pagi, bermula Mac 2015 sehingga Mei 2017 menerusi undian pendengar setiap minggu.

Lagu-lagu yang telah berjaya memasuki carta pada setiap minggu akan dinilai mengikut sistam pemarkahan yang ditetapkan oleh IKIM.

Sebagai kemuncak kepada setiap musim rancangan carta tersebut, IKIM dengan kerjasama TV Alhijrah telah mengadakan konsert separuh akhir AN17 pada 11,18 dan 25 Nov bertempat di AlHijrah Big Studio, (ABS) Cyberjaya.

Bagi menentukan Juara AN17, 10 lagu bakal dipertandingkan dalam peringkat akhir yang akan diadakan pada 13 Januari depan di Stadium Malawati Shah Alam.

Sepuluh lagu yang berjaya ke peringkat akhir ialah Salam (Lah Ahmad), Penyelamat (Hafiz Hamidun), Syahadah (Fadzli Fareast), Jalan Syahadah (Daqmie), Kalah Dalam Menang (Mawi feat Syamsul Yusof), Ana Muslim (Simfoni), Syamail Muhammadiah (UNIC), Jom Selawat (Heliza Helmi dan Hazwani Helmi), Dalam Aku (Rabbani feat Black) serta Jangan Bimbang (Adeep Nahar, Altimet, Baba Andy, Erwan, Muhibbain dan Dani Loka.

Sumber BERNAMA

Kongsi artikel ini di: