Anggota Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Terima Watikah Pelantikan

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Seramai tujuh anggota Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan menerima watikah pelantikan daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.

Pengerusi jawatankuasa itu adalah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid,  Timbalannya Datuk Dr Afifi al-Akiti yang juga Felo di Oxford Centre for Islamic Studies, selain Tan Sri Syed Danial yang turut menganggotai jawatankuasa itu sebagai Setiausaha jawatankuasa.

Sementara itu, Tun Ahmad Sarji berkata tumpuan utama jawatankuasa itu ialah mengkaji kedudukan pengurusan hal ehwal Islam, latar belakang penubuhan, fungsi, bidang kuasa serta keberkesanan agensi agama sedia ada di peringkat persekutuan.

Tambah beliau lebih 102 institusi pentadbiran Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dikaji dan disemak untuk penstrukturan semula.

Tun Ahmad Sarji juga berkata, surat rasmi akan dihantar kepada semua institusi berkenaan untuk sama ada menghantar memorandum atau membentangkan cadangan penstrukturan dan penambahbaikan kepada jawatankuasa tertinggi berkenaan yang akan beroperasi di Istana Negara lama.

Kongsi artikel ini di:

Ahmad Nazri Yusof

Merupakan Pengurus Berita Radio di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Minhajul Abidin, Nasyid Klasik, Kerjaya dan Hala Tuju dan banyak lagi.