Amru bin Al-Asy

SAIDINA Amru bin Al-Asy. Beliau pernah berdoa ketika di akhir-akhir hayat beliau. “Ya Allah, Engkau telah memerintahkan kami, tapi banyak daripada perintah Engkau yang telah kami ingkari. Ya Allah, Engkau telah menegah kami daripada melakukan sesuatu tetapi kami tidak mengentikannya. Pada saat ini Ya Allah, tidak ada daya bagi kami kecuali hanyalah pengampunan daripada-Mu wahai Tuhan yang Maha Merahmati”. Ini merupakan doa terakhir beliau dalam keadaan yang sangat merendah diri memohon keampunan daripada Allah SWT. Menerusi segmen Hayatus Sahabah di IKIMfm, Ustaz Mohd Hazri Hashim Al-Bindany berkongsi mengenai kisah Saidina Abru bin Al-Asy.

Insan hebat yang dikongsikan oleh ustaz ini mempunyai sumbangan yang begitu besar dalam dunia Islam. Beliau telah meninggalkan dua buah negara yang besar kepada umat Islam, Mesir dan Palestin. Angkatannya terlibat dalam pengislaman wilayah Palestin serta beliau merupakan ketua angkatan perang ketika membuka Kota Mesir. Satu sumbangan yang sangat hebat kerana Mesir sehingga kini melahirkan ilmuan dan ulama-ulama hebat seantero dunia. Bahkan di Mesir juga terdapat sehingga kini masjid dan perigi yang dibina oleh beliau sendiri. Di dalam Masjid Saidina Amru itu juga terdapat satu mihrab tempat mengajar Imam As-Syafie menyampaikan ilmu.

Saidina Amru ketika di usia muda, merupakan seorang yang sangat licik, pandai berhelah dan kuat berhujah. Seorang yang cerdas dan pintar ini merupakan orang harapan buat bangsa Quraisy. Saat Saidina Jaafar bin Abi Talib berhijrah bersama kaum Muslimin, ketika mereka merasakan kenikmatan dan ketenangan di Habsyah, ketenangan mereka terusik dengan berita kedatangan Amru bin Asy bagi memujuk Raja Najjasyi agar menghantar kaum Muslimin kembali ke Kota Makkah. Kelicikan Amru itu membuatkan para sahabat sangat gusar akan kehadirannya. Amru bin al-Asy diutuskan oleh orang Quraisy dengan harta yang sangat banyak. Kebijakan beliau, sebelum beliau bertemu Raja Najasyi beliau telah bertemu dengan ketua-ketua gereja serta memberikan duit itu kepada mereka demi meraih sokongan. Kemudian, Amru bin al-Asy pergi mengadap Raja Najasyi bersama berdulang-dulang harta lalu berkata “Wahai Paduka Raja, sesunguhnya telah datang kepada kalian, orang-orang yang tidak cerdik di kalangan kami. Mereka telah meninggalkan agama nenek moyang mereka sendiri dan berlindung di bawah kepimpinan Tuanku dalam hal keadaan mereka juga tidak mahu mengikuti agama Tuanku.” Ketika itu, Raja Najasyi panggil para sahabat mengadap Baginda. Apabila Raja Najasyi memangil para sahabat, Saidina Jaafar kemudian menceritakan tentang perihal Islam, perihal kehidupan masyarakat Arab di zaman Jahiliyyah. Beliau juga menceritakan bagaimana kehidupan mereka sesudah memeluk Islam. Saidina Jaafar membacakan ayat-ayat Al-Quran di hadapan Raja Najasyi. Mendengarkan ayat-ayat itu, Raja Najasyi kemudian berkata “Apa yang dibawa oleh Nabi kalian adalah pancaran yang sama yang dibawa oleh Nabi kami, Nabi Isa A.S. Kekallah kalian hidup aman dan damai di sini.”

Baginda Raja juga mengatakan sesuatu kepada Amru bin Al-Asy yang mendatangkan kesan mendalam dalam hidup Amru. Sehingga lebih lapan tahun beliau memikirkan kata-kata itu. Raja Najasyi mengatakan “Bagaimana kamu boleh jauh daripada Muhammad wahai Amru, sedangkan aku mengetahui kamu orang yang bijak yang mampu membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Bagaimana kamu boleh terpesong jauh daripada kebenaran yang dibawakan oleh Muhammad. Demi Allah, dia adalah Rasul yang diutuskan oleh Allah khusus kepada kalian bangsa Arab dan umat manusia sejagat.”

Amru bin Al-Asy melangkahkan kaki meninggalkan Habsyah dengan berbekas di hatinya apa yang dikatakan oleh Raja Najasyi. Dalam ketentuan takdir Allah SWT, pada tahun ke-8 Hijrah Rasulullah SAW, terdetik dalam hati Amru bin al-Asy kata-kata Raja Najaasyi  dan bagaimana beliau melihat agama yang dibawakan oleh Baginda Nabi SAW semakin tersebar luas. Saat itu, Amru merasakan begitu rugi beliau terus tertipu dengan kemewahan hidup sehingga tidak meraih kebenaran yang sebenar dalam kehidupan. Detik itu, tergerak hatinya dan beliau melangkahkan kakinya ke kota Madinah dan dalam perjalanan itu, beliau telah bertemu dengan Khalid bin al-Walid yang juga dalam perjalanan untuk menyatakan keislaman bersama-sama dengan Uthman bin Talhah, pemegang kunci Kaabah. Ketika Baginda SAW mendapat tahu mengenai kedatangan mereka lalu Baginda katakana “Quraisy telah menitipkan pahlawan-pahlawannya kepada kita.”

Apabila mereka bertemu dengan Baginda Nabi SAW, Khalid bin al-Walid orang pertama berbai’ah dengan Baginda. Tiba giliran Amru bin Asy yang terakhir setelah Uthman bin Talhah, Baginda Nabi SAW menghulurkan tangan kepada Amru lalu Baginda menyambut tangan dihulurkan oleh Amru dengan berkata “Wahai Amru, apa yang engkau ingin katakan sekarang.” Ketika itu, kata Amru “Aku berbai’ah kepadamu Ya Rasulullah, agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosaku yang lalu.” Pada ketika itu Baginda katakan “sesungguhnya dengan memeluk Islam dan berhijrah kepada agama Allah SWT, itu sudahpun menghapuskan dosa-dosa dan kesalahan yang lalu.”

Setelah memeluk Islam, Baginda melihat potensi yang ada pada Saidina Amru dan pada tahun tersebut juga, Saidina Amru telah dilantik sebagai ketua angkatan perang.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Februari 2018
\"\"
Scroll to Top