Allah Mengangkat Darjah Orang Tawaduk

KEKUATAN hati seseorang manusia terletak kepada nilai kelembutan hati itu menerima peringatan dan teguran, manakala hati yang lemah adalah hati yang keras, degil dan tegar dalam kesediaan diberi teguran.

Dalam usaha untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT, kita jangan hanya memfokuskan tentang perkara-perkara yang hanya untuk menambah amalan baik di sisi Allah sahaja, tetapi sebaliknya turut memberi perhatian kepada amal perbuatan yang boleh mencederakan atau mencacatkan amalan kita kepada Allah taala.

Menerusi rancangan Islam Itu Indah di radio IKIMfm yang bersiaran hari Rabu jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menjelaskan bahawa lakaran sejarah telah membuktikan bahawa iblis yang diawalnya merupakan makhluk yang saat taat kepada perintah Allah SWT, kemudian kerana sifat takaburnya telah bertukar menjadi makhluk yang paling kufur dan paling derhaka kepada Allah SWT.

Justeru, dalam kita mencari kebaikan dalam kehidupan ini, perlu juga melihat kepada factor dan perbuatan yang boleh merobohkan matlamat kita untuk menuju ke syurga Allah. Amat ditakuti, perbuatan dan amalan kita yang setinggi gunung akhirnya ranap dan lebur, hanya kerana sikap takabur dan sekaligus menjadikan kita penguhuni neraka.

Hakikatnya ketaatan tidak akan bermakna jika ada ketakburan, kebaikan tidak mendatangkan apa-apa erti jika terselit sikap takabur, begitu juga kelembutan pada perbuatan tidak menghasilkan makna jika terdapat sikap takabur yang boleh merosakkan setiap satu makna kehidupan. Memetik kata-kata para hukamak yang berkata “Orang yang bakhil itu adalah musuh Allah”. Dalam konteks ini merujuk kepada orang taat kepada perintah Allah sekalipun jika ada perbuatan yang buruk, akan merosakkan amalan-amalannya.

Rasulullah SAW adalah orang yang paling tawaduk. Ini dapat dilihat melalui akhlak dan keperibadian baginda yang hanya memilih untuk menjadi sangat sederhana. Sehingga tempat tidur baginda sekalipun diceritakan jauh dari kelazatan dunia sehingga para sahabat sendiri mengalir air mata melihat kehidupan baginda yang memilih untuk tidak terkesima dengan kelazatan dunia.

Bahkan baginda seperti yang dinukilkan oleh sirah, pernah ditawarkan harta kekayaan sebanyak ‘timur dan barat’, tetapi baginda memilih untuk hidup dengan penuh tawaduk dan berbakti kepada umat dan agama Islam. Kerana itu, baginda diberi kemuliaan dengan segala kebaikan dan kerahmatan.

Justeru, amat perlu bagi seseorang mukmin untuk sentiasa menyuluh diri apakah ada nilai tawaduk di dalam hati, atau sebenarnya terselit banyak sikap takabur yang mengikis nilai-nilai kebaikan. Ini kerana apabila kita menjadi orang yang rendah diri, bukan bererti kita menghina diri. Merendah diri akan meningkatkan lagi kualiti diri seseorang mansuia di sisi Allah SWT dan juga mendapat penghormatan pada pandangan manusia.

Tanda-tanda orang yang rendah diri atau tawaduk adalah orang yang sentiasa tunduk akan perintah Allah. Orang yang tawaduk bukan melalui pakaian yang lusuh, kata-kata yang lemah lembut, tetapi tidak solat atau tidak mengikuti syariat Allah, tetapi orang yang tawaduk adalah orang yang akhlaknya terpuji, perilakunya merendah diri, orang yang taat akan perintah Allah kerana takut akan azab Allah. Dengan kata lain orang yang benar-benar ikhlas dalam melaksanakan segala amalan kerana Allah SWT.

Sesungguhnya orang yang tawaduk adalah orang yang berakhlak baik dengan semua orang, ini bermakna sama ada dengan majikan, pekerja, sahabat atau dengan sesiapa sahaja tanpa melihat kedudukan manusia, tetap mendapat layanan yang sama. Orang yang tawaduk adalah orang yang amat merendah diri dengan Allah dan dengan manusia di muka bumi.

Ciri-ciri orang tawaduk adalah orang yang suka mendengar nasihat. Orang yang tawaduk adalah orang yang hatinya lembut dan dapat mengambil manfaat dari segala nasihat yang diperolehi. Hatinya sedia terbuka mendengar nasihat dan teguran. Namun jika pada hati terselit rasa ego dalam menerima kata-kata dan nasihat orang lain bererti masih belum jernih nilai tawaduk di dalam diri.

Selain itu, seseorang yang tawaduk tidak memperlekehkan orang lain. Setiap orang yang ada di hadapan dianggap orang yang penting. Walaupun status atau kedudukan sosial tidak sama, namun bagi hati yang tawaduk tetap memandang tinggi atau menghormati orang lain. Justeru, orang yang tawaduk tidak akan sesekali memandang rendah kepada orang lain.

Orang yang tawaduk juga adalah orang yang tidak mudah menghukum. Malahan, dalam hatinya penuh dengan cinta dan kasih sayang. Orang yang di dalam hatinya ada kasih sayang tidak akan cepat menghukum orang lain. Kasih sayang, kemaafan dan kebaikan diri dapat menutupi keegoan diri sehingga dia tidak sempat untuk menyalahkan orang lain.

Justeru, dalam kita menyuluh kekurangan diri dan mencari kebaikan diri, jangan sesekali terhasut dengan tipu daya syaitan yang selalu mengajak manusia untuk membuat salah dalam penilaian. Menilai diri lebih baik dari orang lain adalah penyakit hati yang paling parah. ‘Penyakit’ ini sering menimpa sesetengah dari kita yang sering berusaha untuk menjadi baik. Namun akhirnya kita tidak menjadi baik tetapi hanya merasakan diri kita lebih baik dari orang lain. Oleh itu, latihlah hati dengan nilai rendah diri supaya dengan ini akan meninggikan darjat kita di sisi Allah SWT.  

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 10 Mei 2017
Scroll to Top