Allah Itu Ada

HIDUP adalah untuk diuji, dan Allah tidak menguji melebihi kadar kemampuan iman hambaNya. Tatkala menerima ujian, fahamilah bahawa itu bahasa tuhan dalam menterjemahkan kasih sayangNya. Membicarakan berkenaan ujian, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menerusi slot Islam Itu Indah di IKIMfm Rabu lalu jam 10.15 pagi mengingatkan bahawa kesabaran itu letaknya pada tamparan pertama ujian itu datang. Saat kritikel dan genting sewaktu seakan semua pintu sudah tertutup dan tiada suatu perkara yang dapat di lakukan dan diadukan. Umpama berada dalam situasi kelemasan, tiada ikhtiar yang dapat dilakukan serta hilang usaha untuk terus timbul dan dapat diselamatkan. Saat itu yang muncul hanyalah berserah bulat kepada tuhan.

Pada situasi terhimpit dan tersepit, hilang langkah mahu ke hadapan apatah lagi ke belakang. Di waktu ini seseorang itu punya dua pilihan. Pertama, terus berharap dan meminta pertolongan kepada Allah SWT. Ke dua adalah pilihan yang tidak di harapkan untuk di pilih sama sekali iaitu jalan kecewa dan putus asa. Justeru, walau apa juga yang berlaku pohonlah Allah kurniakan hati yang terus untuk memilih jalan pertama. Pesankan berkali-kali pada hati bahawa tuhan tidak akan menguji lebih daripada kemampuan seseorang hamba untuk menghadapinya. Walau susah dan dahsyat, yakinlah ia masih dalam kemampuan mendepani dan menyelesaikannya. Sesungguhnya janji Allah itu benar menepati firmanNya yang bermaksud, “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah Al-Baqarah, ayat 185).

Di saat genting, yakinlah pertolongan Allah pasti akan tiba bukan kala di minta tapi tepat masanya. Harapan akan hadir jika berpegang teguh kepada kepercayaan tersebut. Dalam kehidupan, harapan kepada Allah harus sentiasa dihidup suburkan. Allah berfirman mafhumnya, “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)”. (Surah Al-Ahzab, Ayat 21). Sejarah membuktikan, banyak waktu-wantu genting dihadapi oleh baginda Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabat baginda dalam riwayat perjuangan hidup mereka. salah-satu waktu yang paling genting adalah ketika Perang Khandak atau Perang Ahzab.  Dinamakan Perang Ahzab kerana perang ini menghimpunkan banyak suku kaum yang telah bersekutu (Ahzab) untuk menyerang orang Islam di Madinah juga dinamakan Perang Khandaq (parit) kerana tentera Islam telah menggali parit di sekeliling kota Madinah untuk menghalang tentera musuh dari menceroboh dan menyerang Madinah. Dengan bantuan Allah, tenteraIslam telah mendapat kemenangan walaupun jumlah gabungan tentera Mekah amat besar.

Peristiwa pengepungan Madinah selama lebih kurang empat minggu oleh suku-suku dalam kalangan orang Arab dan Yahudi yang bergabung. Kekuatan pihak Gabungan dianggarkan seramai 10,000 orang, diiringi oleh 600 ekor kuda dan sebilangan ekor unta, manakala di pihak Madinah pula terdiri daripada 3,000 orang. Pihak yang mempertahankan Madinah, kebanyakannya Muslim di bawah pimpinan Nabi Muhammad SAW, menggali parit bersama-sama dengan kubu alami Madinah berjaya membuatkan pasukan berkuda Gabungan menjadi lemah dan sekali gus menimbulkan kebuntuan buat kedua-dua pihak. Pihak Gabungan merancang untuk membuat beberapa serangan secara serentak dan berjaya meyakinkan sekutu mereka, Bani Quraizah pula adalah sebuah suku kaum Yahudi yang bercadang menyerang kota Madinah dari arah selatan. Tentera Islam pimpinan RAsulullah SAW telah terkepung selama sebulan dan terpaksa hidup dalam keadaan kelaparan yang dahsyat serta ketakutan yang memuncak.

Kepimpinan Rasulullah SAW melalui teladan mengatasi segala. Rasulullah bukan sekadar memahami kesusahan orang yang dipimpin malah Baginda turut sama merasai kegetirannya. Pada ketika orang datang kepada Rasulullah mengadu tentang kelaparan kerana keputusan bekalan makanan. Lalu, Rasulullah SAW menyelakkan bajunya sehingga terlihat batu-batu kecil terikat di perut Baginda bagi menahan kelaparan. Melihat itu, para sahabat tidak berkata lebih lanjut kerana pemimpin mereka juga sedang berdepan perkara yang serupa. Peristiwa itu secara tidak langsung telah lebih menyemarakkan lagi semangat mereka untuk terus berjuang.

Jika diteliti, pada ketika itu nyawa tentera Islam terancam oleh dua perkara iaitu senjata dan kelaparan. Namun, pada saat ditimpa kesengsaraan dan di goncangkan dengan pelbagai cubaan sehingga terpancul di mulut mereka bertanyakan, “Bilakah akan datangnya pertolongan Allah?”  Allah menjawab menerusi firmanNya, “Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah). (Surah Al-Baqarah, ayat 214).

Sesungguhnya, saat paling genting dan getir adalah waktu kita paling hampir dengan pencipta kegentinggan dan kegetiran itu. Sungguh pertolongan Allah itu dekat. Mengamil iktibar daripada penyerahan penuh kepada Allah SWT, maka berlaku proses diplomasi Nabi Muhammad dan akhirnya berjaya menjejaskan rundingan antara pihak Gabungan dan Quraizah, lalu mematahkan pakatan untuk menentang baginda.

Oleh itu, saat di timpa musibah tegapkan pergantungan kepada Allah dan perbanyakkan menyebut Hasbunallah Wa Nik Mal Wakil (Cukuplah Allah bagi kita sebaik-baik pembela). Yakinlah, ketika manusia mengecewakan ada Allah yang yang sentiasa membuka pintu untuk membantu. Justeru, teruslah meminta dan berharap kepada Allah SWT.

Kata pujangga Profesor Dr. Hamka menerusi bukunya Tasauf Moden, “Ketika pintu di bumi sudah tertutup yakinlah, pintu ke langit sentiasa terbuka!” Maksudnya, apabila manusia tidak boleh lagi diharap mendengar pengaduan kita, Allah sentiasa dekat untuk mendengar segala rintihan dan harapan. Ia bukan jalan terakhir, tetapi ia adalah jalan terbesar untuk meleburkan segala kekusutan. Ketahuilah bahawa segala kerumitan dalam kehidupan merupakan tarbiah daripada Allah SWT untuk meletakkan roh tauhid dalam sanubari hambaNya yang beriman. Hadapilah dengan syukur yang panjang kerana di pilih mengikuti kursus tarbiah dalam kehidupan.

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 9 Disember 2015
Kongsi artikel ini di:

Norhayati Paradi

Merupakan penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan di Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm). Antara rancangan terbitan beliau adalah Motivasi Pagi, Agama dan Peradaban, Dimensi, Dinamika dan banyak lagi.