Al-Quran: Pembela Atau Pendakwahmu

DARI Abu Malik Al Asy’ari ia berkata, Nabi SAW bersabda: “Bersuci adalah setengah iman, bacaan Alhamdulillah memenuhi timbangan, bacaan Subhanallah Walhamdulillah memenuhi antara langit dan bumi, shalat adalah cahaya, sedekah adalah bukti, Al Quran adalah hujjah yang membelamu atau yang menyanggahmu.” (HR Muslim).

Al-Quran sebagai pembela dan akan muncul dalam bentuk yang paling baik, berhujjah kepada Allah bahawa hamba ini telah membaca dan menjaga dirinya dengan baik. A- Quran akan terus membela di hadapan Allah sehingga Tuhan menyerahkan urusan orang itu kepadanya. Itu antara isi perkongsian Usrah Nurani pada Jumaat lalu yang bersiaran pada pukul 5.15 petang bersama naqib al-Fadhil Ustaz Zul Ramli M.Razali beserta rakan usrah di konti seorang kaunselor Izuddin Mashkor dan Zuar XPDC.

Dari awal lembaran al-Quran Allah menyatakan menerusi firmannya yang bermaksud: “Demikianlah al-Kitab yang tidak ada keraguan padanya memberi petunjuk kepada orang yang bertaqwa” (Surah Al-Baqarah, ayat 2). Keunikan al-Quran yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak kerana ia adalah kitab suci yang kekal sehingga hari qiamat. Ia di bawah peliharaan Allah yang maha agung. Al-Quran bukan buku novel biasa yang penuh khayalan dan omong kosong.

Al-Quran bukan diturunkan untuk memberi berkat kepada manusia sahaja, tetapi ia adalah panduan yang mesti dipegang oleh manusia di atas muka bumi ini agar ia tidak terpesong dan sentiasa terpandu. Kalau manusia mengambil selain daripada perkara yang ditunjukkan oleh al-Quran maka manusia tidak akan berjumpa jalan dan pedoman dan akan berada di dalam kesesasatan yang nyata. Petunjuk al-Quran adalah jelas yang tidak diselindungi falsafah yang berbelit dan cerita dongengan yang direka

Berpegang dengan al-Quran bermakna manusia itu akan dapat membezakan antara yang benar dengan batil kerana ia sebagai penyuluh yang terang, Al-Quran adalah penguat dalam menghadapi segala bentuk kepalsuan yang dijelmakan oleh musuh-musuh Islam.

Menerusi Usrah Nurani kali ini, rakan usrah telah di bongkarkan sebahagian daripada kehebatan al-Quran yang mengandungi 6,236 ayat sebagai petunjuk kepada manusia. Menerusi al-Quran ramai manusia telah mendapat petunjuk hidayah seperti yang dinyatakan menerusi surah al-Fatihah iaitu al-Quran sebagai petunjuk jalan yang lurus.

Al-Quran adalah petunjuk naluri, perasaan serta akal fikiran. Selain itu, ia juga petunjuk agama sebagai panduan dan pedoman dengan cahaya petunjuk serta hidayah yang terkandung bersamanya. Di samping hidayah, al-Quran juga merupakan taufik agar manusia sentiasa konsisten berada di dalam petunjuk Allah. Dengan taufik ini, graf iman akan bertambah dari hari ke hari. Untuk mencapai tahap ini memerlukan kepada ilmu dan penghayatan terutama ilmu bersumberkan al-Quran dan sunah.

Bak kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta. Demikianlah ibaratnya dengan al-Quran. Nampak macam dekat tetapi sebenarnya al-Quran jauh. Ramai membaca al-Quran tetapi tidak ramai yang memahami tafsirannya secara betul atau mengenali al-Quran dalam erti kata sebenar. Oleh sebab itulah, pelajarilah tafsir al-Quran untuk benar-benar memahaminya. Hakikatnya, sesiapa yang mendampingi kitab suci ini dalam erti kata memahaminya akan merasai ia sesuatu yang tidak akan habis digali.

Ramai yang belum “ketagih” membaca dan menghayati al-Quran disebabkan gagal mencontohi kaedah yang ditunjukkan oleh Rasulullah. Baginda mengamalkan empat cara di dalam membawa al-Quran kepada generasi sahabat iaitu tilawah dengan membaca secara betul dan bertajwid kepada para sahabat; menafsirkan ayat supaya tidak ada lagi keraguan; menyuruh sahabat mengamal serta menghayati ayat tersebut dan menyuruh mereka menghafalnya.

Pendek kata, kombinasi empat perkara ini mampu melahirkan insan yang berperibadi al-Quran. Justeru, kita sebagai umat yang mengaku beriman dengan kitab suci Al-Quran, mestilah menjadikan Al-Quran sebagai kitab bacaan dan rujukan utama dalam kehidupan. Menjadikan Al-Quran sebagai benteng kepada godaan dunia serta sentiasa memohan dilindungi Allah SWT. Justeru, dalam kesibukan harian, sewajarnya memperuntukkan sedikit waktu dan ruang kepada diri dan keluarga untuk mengecapi keredhaan Allah SWT melalui pembacaan Al-Quran. Janganlah kita menjadi seperti segelintir orang yang mendakwa berilmu tatapi mereka tidak membaca Al-Quran dalam kehidupan seharian mereka .

Akhirnya, Al-Quran bukan seperti kitab warisan yang hanya dibungkus kemas untuk dipamerkan atau untuk melariskan jualan apatah lagi hanya sekadar memagari rumah dan sebagainya. Tatapi hakikat sebenarnya al-Quran adalah sumber rujukan yang mampu menjadi penunjuk arah dalam kehidupan disamping berupaya menangani pelbagai halangan, cabaran dan ancaman terhadap akhlak dan moral masyarakat.

Sesungguhnya, orang yang berpegang teguh dengan al-Quran akan berbahagia di dunia dan akhirat serta mendapatkan ketenangan dan berlapang dada di tambah memperolehi kesembuhan dari penyakit jasmani sepertimana janji Allah menerusi firmanya:  “Dan kami turunkan dari al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan Al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” (Surah Al-Israa’, ayat 82).

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 11 Mac 2016
Scroll to Top